Pelaburan Bukan Khusus Untuk Lelaki Sahaja, 3 Wanita Hebat Telah Membuktikannya!

524

Sering kali kita dengar bahawa hanya kaum lelaki yang mendominasi sektor kewangan. Adakah golongan wanita dipinggirkan daripada menceburi bidang tersebut?

Menurut Biro Statistik Buruh Amerika Syarikat, 53% daripada keseluruhan tenaga buruh dalam bidang kewangan pada 2017 adalah terdiri daripada kaum wanita.

Ini menunjukkan bahawa golongan wanita juga berpeluang untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki.

Terdapat beberapa figura wanita terkemuka dunia yang dikategorikan sebagai pelabur yang hebat. Mungkin, salah seorang daripadanya boleh dijadikan idola kepada anda khususnya kaum hawa.

1. Geraldine Weiss, Penasihat Pelaburan

Beliau merupakan salah seorang wanita pertama yang membina nama dalam bidang kewangan dan telah membuktikan bahawa wanita mampu menjadi pelabur yang berjaya.

Weiss belajar tentang pelaburan dengan membaca buku, mendengar perbualan ibu bapanya dan melalui pembelajaran perniagaan dan kewangan di kolej.

Untuk mengelakkan diskriminasi jantina, beliau menggunakan nama samaran G. Weiss sehingga pertengahan 1970-an.

Setelah mencapai prestasi yang berjaya, Weiss mula mendedahkan identiti sebenar beliau.

2. Muriel Siebert, Pengasas Firma Pembrokeran

Tanpa sebarang kelulusan daripada universiti, Muriel Siebert berjaya menempa nama dalam bidang penyelidikan kewangan serta menubuhkan sebuah firma pembrokeran Muriel Siebert & Co. pada tahun 1967.

Beliau berhadapan dengan kesukaran ketika ingin mendaftarkan firma tersebut di Bursa Saham New York (NYSE) apabila kaum lelaki menolak permohonan tersebut dan enggan membiayainya.

Namun begitu, firma berkenaan mampu bertahan dan menjadi satu-satunya firma pembrokeran NYSE wanita.

3. Abby Joseph Cohen, Pakar Strategi Portfolio

Figura hebat ini telah menjadi pakar strategi portfolio terkemuka selama beberapa tahun. Selepas berkhidmat sebagai pakar ekonomi Rizab Persekutuan pada tahun 1973, beliau meneruskan kerjaya sebagai pakar ekonomi dan kuantitatif di beberapa firma kewangan terkenal seperti T. Rowe Price, Barclays dan Drexel Burnham Lambert.

Seterusnya, Cohen memasuki Goldman Sachs pada tahun 1990 serta menjadi rakan kongsinya pada 1998.

Cohen bersara pada 2018 sebagai ketua strategi dan presiden Institut Pasaran Global Goldman.

Kini, beliau menjadi pengarah penasihat dan ahli strategi pelaburan kanan, serta ahli jawatankuasa pelaburan bagi rancangan persaraan firma Amerika Syarikat.

Tuntasnya, kerjaya dalam bidang pelaburan bukanlah dikhususkan untuk kaum lelaki sahaja. Sebaliknya, kaum wanita juga mempunyai kemampuan dan kelebihan dalam bidang berkenaan. Jadi, mulakan langkah anda sebagai seorang pelabur, mungkin anda adalah salah seorang daripada pelabur wanita terkemuka dunia satu hari nanti.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat