Peralihan Fasa Dua PPN Legakan Pelabur

171

Bursa Malaysia dibuka agak tinggi pagi ini dengan sentimen pasaran nampak lebih baik selepas lima negeri di dalam negara beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.24 mata kepada 1,533.59 berbanding 1,533.35 pada penutupan Jumaat minggu lalu.

Bernama melaporkan, indeks utama dibuka 0.69 mata lebih tinggi pada 1,534.04.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 192 berbalas 169 manakala 299 kaunter tidak berubah, 1,513 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 286.43 juta unit bernilai RM124.17 bilion.

Pada Sabtu, Majlis Keselamatan Negara mengumumkan Kelantan, Pahang, Perak, Terengganu dan Perlis telah memenuhi tiga prasyarat PPN dan akan beralih ke Fasa Dua hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kelima-lima negeri ini telah berjaya menurunkan jumlah kes masing-masing, mempunyai kapasiti yang lebih baik di wad ICU dan telah meningkatkan peratusan penduduk yang diberi vaksin mengikut kadar ambang yang ditetapkan di bawah PPN.

Bagaimanapun, Malacca Securities menyatakan kenaikan FBM KLCI mungkin terbatas kerana para pelabur terus mengambil sikap berhati-hati memandangkan kes harian COVID-19 masih melepasi paras 6,000.

Sementara itu, pelabur akan memantau keputusan kadar faedah Bank Negara Malaysia minggu ini untuk hala tuju mereka di pasaran saham.

“Bagi komoditi pula, harga minyak sawit mentah komoditi meningkat untuk hari keempat berturut-turut. Sektor minyak dan gas mungkin menjadi fokus utama kerana harga minyak Brent telah mengukuh pada sekitar AS$76 setong,” kata Malacca Securities dalam nota penyelidikannya hari ini.

Selain itu, firma itu berpendapat sektor teknologi juga akan mendapat manfaat daripada kenaikan di Nasdaq.

“Memandangkan kita masih dalam mood kawalan pergerakan dengan lima negeri beralih ke fasa dua PPN, kami mungkin memantau saham pembungkusan plastik di tengah permintaan yang lebih tinggi terhadap penggunaan plastik,” jelasnya.

Saham berwajaran tinggi Petronas Chemicals naik dua sen kepada RM8.09, TNB meningkat tiga sen kepada RM9.76, Press Metal menambah empat sen kepada RM4.82, Maybank, IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM8.11 dan RM5.61, sementara Public Bank turun satu sen kepada RM4.10 dan CIMB susut dua sen kepada RM4.62.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik meningkat tiga sen kepada 41.5 sen, NWP Holdings naik satu sen kepada 22.5 sen, Pasukhas lebih tinggi 3.5 sen kepada 32 sen, Sarawak Consolidated dan KPower masing-masing melonjak 4.5 sen kepada 85.5 sen dan 96.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 4.52 mata kepada 11,165.43, Indeks FBMT 100 menokok 2.55 mata kepada 10,875.97, dan Indeks FBM Emas Syariah mengembang 12.47 mata kepada 12,188.58.

Sementara itu, FBM ACE turun 0.66 mata kepada 7,210.55, tetapi FBM 70 meningkat 6.52 mata pada 14,456.85.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 11.38 mata kepada 15,116.07, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.55 mata lebih tinggi pada 187.48, dan Indeks Perladangan menambah 0.82 mata kepada 6,416.64.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat