Pergerakan Yen Terbatas Menjelang Mesyuarat BOJ, Dolar Aussie Dan Kiwi Meningkat

258

Pasaran matawang stabil pada awal pembukaan sesi Asia disokong oleh perkembangan positif dalam memerangi pandemik coronavirus, sementara tumpuan pasaran terarah kepada mesyuarat polisi monetari Bank of Japan (BOJ) pada hari Selasa.

Bank pusat itu dijangka akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah dan memperluaskan program pelonggaran kuantitatif (QE), setelah memberi isyarat pada minggu lepas bahawa ia sedang mempertimbangkan pembelian bon tanpa had.

Turut menjadi perhatian pasaran pada minggu ini adalah mesyuarat polisi Federal Reserve (AS) dan Bank Pusat Eropah (ECB).

Indeks dolar yang mengukur kekuatan greenback berbanding enam matawang utama, meningkat kepada 100.25. US dolar kembali menokok selepas mencatat penyusutan berbanding safe-haven yen pada pembukaan sesi Asia.

Khabar angin mengenai pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un yang dilaporkan telah meninggal dunia menghiasi tajuk utama pada penghujung minggu, di mana sebelum ini beliau dikatakan kritikal selepas menjalani pembedahan jantung.

Bagaimanapun, laporan tersebut sekali lagi dinafikan apabila penasihat polisi asing presiden Korea Selatan, Moon Chung-in, dengan menegaskan bahawa Kim Jong Un masih hidup berada dalam keadaan yang sihat. China pula dilapor telah mengerahkan satu pasukan, termasuk pakar perubatan ke Korea Utara.

Sementara itu dalam perkembangan di Eropah, matawang pound diniagakan mendatar sementara ketidakpastian mengenai rundingan Brexit kembali membelenggu pasaran. Ketua perunding Brexit Kesatuan Eropah (EU) Michel Barnier memberitahu bahawa rundingan perdagangan bersama UK setakat ini mengecewakan, menandakan tiada kemajuan telah dibuat setakat ini.

Walaupun berdepan dengan krisis pandemik coronavirus, Britain masih bertegas untuk tidak melanjutkan tempoh peralihan Brexit dan yakin ia akan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini sepertimana yang dirancang.

Di sisi lain, dolar Aussie dan kiwi memaparkan peningkatan sederhana berbanding USD ketika Australia dan New Zealand kini sedang bersedia untuk melonggarkan perintah berkurung setelah mencatatkan penurunan dalam kes COVID-19.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat