Perkembangan Brexit : Apa Yang Bakal Terjadi Di Parlimen UK Pada Minggu Ini?

961

Para pemimpin Kesatuan Eropah telah memberikan penangguhan masa selama dua minggu kepada Perdana Menteri Britain, Theresa May untuk membuat keputusan bagaimana harus Britain meninggalkan Kesatuan Eropah dan telah membuatkan dagangan Sterling berjaya mencatatkan peningkatan semula pada penghujung minggu lalu.

Apa pula jangkaan perkembangan Brexit untuk minggu ini?

Ahli Parlimen British akan berusaha untuk menggunakan proses undian bagi menentukan langkah-langkah kerajaan terhadap Brexit pada Isnin dan juga mendapatkan sokongan majoriti dalam usaha untuk memecah kebuntuan di Parlimen.

Britain dijadualkan untuk meninggalkan Kesatuan Eropah pada tarikh 29 Mac, namun selepas perjanjian pengunduran Perdana Menteri Britain, Theresa May bersama Brussels telah ditolak sebanyak dua kali di Parlimen, beliau bersetuju untuk menangguhkan Brexit dalam rundingan bersama Kesatuan Eropah pada Khamis.

Terkini, tarikh pengunduran akan ditukarkan kepada 22 Mei jika PM May mendapat kelulusan Parlimen. Namun jika beliau gagal, Britain perlu menunggu sehingga 12 April nanti untuk menawarkan pelan perjanjian yang baru atau terpaksa memutuskan untuk meninggalkan Kesatuan Eropah tanpa sebarang perjanjian.

PM May berharap untuk mengadakan undian pada minggu ini tetapi memberi isyarat pada Jumaat lalu berkemungkinan beliau tidak akan meneruskan tindakan tersebut jika tidak mendapat sokongan yang cukup. Dan ini memberikan gambaran bahawa perjanjian mengalami kesukaran untuk mendapatkan kelulusan.

Berikut adalah situasi yang mungkin berlaku di Parlimen pada hari ini:

Apakah isu yang bakal diperdebatkan?

Ahli parlimen akan menyuarakan gerakan kerajaan yang menyatakan Parlimen telah mempertimbangkan kenyataan yang dibuat pada 15 Mac lalu yang menetapkan langkah-langkah kerajaan seterusnya mengenai Brexit, termasuk rancangan penangguhan.

Kenyataan pada 15 Mac lalu juga menyatakan kerajaan percaya langkah yang tepat untuk Britain keluar dari Kesatuan Eropah adalah berundur dengan cara yang betul bersama perjanjian, dan Parlimen juga telah menolak situasi pengunduran tanpa perjanjian.

Bolehkan Penggubal Undang-Undang Membuat Perubahan?

Ya dan ia disebut sebagai pindaan. Ahli parlimen melihat beberapa cadangan pindaan dan akan dibicarakan dalam debat Parlimen hari ini dan undian pindaan bakal diadakan.

Jika situasi tersebut berlaku, setiap pindaan akan diundi satu persatu dan setiap undian akan mengambil masa sekitar 15 minit. Keputusan akan terus diumumkan selepas undian berakhir.

Berikut adalah pindaan-pindaan yang telah dicadangkan:

AMENDMENT A

Dicadangkan oleh kumpulan anggota Parlimen yang diketuai oleh Oliver Letwin, ahli dari Parti Konservatif Theresa May. Ia telah ditandatangani oleh lebih daripada 120 ahli parlimen.

Cadangan ini melibatkan perubahan pada peraturan Parlimen pada 27 Mac untuk memberikan tempoh bagi ahli parlimen untuk berdebat dan mengundi jalan penyelesaian terbaik untuk Brexit dan proses tersebut merujuk kepada ‘indicative votes’.

AMENDMENT B

Dikemukan oleh ahli undang-undang Konservatif dan telah disokong oleh sekurang-kurangnya 80 ahli parlimen yang lain ternasuk ahli Parti Kesatuan Demokratik Ireland Utara yang menyokong kerajaan minoriti Theresa May.

Ia menyeru Parlimen untuk untuk menghormati keputusan referendum 2016 ketika Britain diundi untuk keluar daripada Kesatuan Eropah.

AMENDMENT C

Dicadangkan oleh pembangkang ahli Parlimen Buruh, Yvette Cooper dan mendapat sokongan lebih daripada 30 orang ahli parlimen termasuk daripada Konservatif.

Ia menyeru kerajaan untuk menetapkan pada tarikh akhir 28 Mac ini bagaimana untuk memastikan Britain tidak akan meninggalkan Kesatuan Eropah tanpa perjanjian.

AMENDMENT D

Cadangan pindaan daripada pembangkang iaitu Ketua Parti Buruh, Jeremy Corbyn dengan menyatakan kerajaan perlu memberikan tempoh bagi ahli parlimen untuk mendapatkan persetujuan majoriti bagi pendekatan Brexit yang berbeza.

Cadangan pelan alternatif termasuk mengadakan referendum Brexit kedua atau rundingan untuk pembentukan perjanjian semula bersama Kesatuan Eropah.

AMENDMENT E

Dicadangkan oleh kumpulan bebas pembuat undang-undang dan disokong oleh ahli Demokrat Liberal yang pro-EU dan pindaan ini mengharapkan referendum kedua diadakan untuk menentukan sama ada Britain bakal keluar atau terus kekal dalam Kesatuan Eropah.

AMENDMENT F

Dikemukakan oleh ahli parlimen Buruh di mana pindaan ini menyatakan bahawa jika dalam tempoh tujuh hari Britain dilihat bakal meninggalkan Kesatuan Eropah tanpa perjanjian, kerajaan harus merujuk kepada Parlimen sama ada ia akan meluluskan pengunduran tanpa perjanjian atau jika ia perlu diberikan tempoh penangguhan Brexit untuk menghalang situasi tersebut berlaku dan memberikan masa untuk Parlimen mencari jalan penyelesaian yang lain.

AMENDMENT G

Pindaan ini dikemukan oleh Demokrat Liberal pro-EU untuk kerajaan mendapatkan tempoh penangguhan Brexit untuk mengadakan referendum terbaru sama ada harus meninggalkan Kesatuan Eropah dengan pelan perjanjian Theresa May atau terus kekal berada dalam Kesatuan Eropah.

 

Sumber rujukan: The Star

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat