Peroleh Pesanan Baharu RM47.9 Juta, Saham Genetec Terus Meroket!

327

Saham Genetec Technology Bhd di Bursa Malaysia melonjak ketika sesi dagangan awal selepas syarikat itu memperoleh pesanan baharu bernilai RM47.9 juta daripada pelanggan sedia ada dalam segmen kenderaan elektrik (EV) dan bateri serta pemacu cakera keras, elektronik dan industri semikonduktor.

Pada pukul 9.47 pagi, kaunter itu menokok 17 sen kepada RM5.20, dengan 131,200 saham bertukar tangan.

Genetec menerusi satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, tempoh bagi setiap projek biasanya mengambil masa antara tiga hingga sembilan bulan, bergantung kepada saiz pesanan dan jadual yang ditetapkan pelanggan.

“Skop kerja akan melibatkan, tetapi tidak terhad kepada, reka bentuk konsep dan lukisan perincian, tempahan serta penerimaan bahagian komponen, fabrikasi dan pemasangan sistem, pengekodan perisian termasuk pengaturcaraan, penyediaan kilang, ujian sistem, pemasangan, pentauliahan dan penerimaan oleh pelanggan,” tambahnya seperti dilaporkan oleh Bernama

Pesanan berkenaan dibuat berdasarkan projek dan syarikat itu tidak menjangkakan sebarang risiko yang berkaitan dengan jaminan pesanan baharu ini.

Genetec berkata pesanan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat