Selari Dengan Peningkatan Kes COVID-19, Emas Didagangkan Tinggi

338

Emas didagangkan tinggi di atas paras harga $1,770 per auns pada sesi dagangan awal minggu yang turut menyaksikan angka keseluruhan kes Covid-19 kini telah melepasi 10 juta di seluruh dunia dan menyebabkan lebih 500,000 kematian.

Jumlah yang semakin meningkat itu menunjukkan bahawa kesan wabak pandemik coronavirus adalah lebih besar daripada yang pernah berlaku sebelum ini.

Logam kuning itu diniagakan di sekitar harga $1,772 per auns, menghampiri paras ketinggian 8 tahun $1,779.06 yang dicapainya pada minggu lalu. Sementara niaga hadapan pula meningkat 0.3% kepada $1,787 per auns.

Kebimbangan para pelabur terhadap peningkatan kes jangkitan di Amerika Syarikat semakin meningkat, apabila lebih 2.5 juta kes telah disahkan dan 125,804 kematian direkodkan setakat ini.

Dalam usaha untuk membendung lonjakan kes yang saban hari merekodkan bacaan membimbangkan, Texas dan Florida telah diarahkan untuk menutup beberapa bar, di mana ia kemudiannya diikuti oleh California pada hari Ahad.

Sementara Washington dan bandar San Fransisco pula terpaksa menangguhkan sementara rancangan untuk pembukaan semula aktiviti ekonomi.

Selain itu, kluster baru Covid-19 yang dikesan di sebuah wilayah berhampiran ibu kota Beijing, China telah memaksa pihak kesihatan untuk mengenakan sekatan di daerah yang dikenali Anxin menyebabkan 500,000 orang turut terjejas sama.

Walaupun ia hanya melibatkan komuniti dalam skala lebih kecil, sekatan ini secara tidak langsung mungkin boleh menjejaskan proses pemulihan ekonomi global.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat