USD Kembali Lemah, Tapi Yen Lebih Parah!

450

Pengukuhan US dolar pada penutup minggu lalu dan momentum yang cuba dikekalkan di awal minggu dilihat berubah pada dagangan Selasa semalam apabila raja mata wang itu telah kembali bergerak lemah semula.

Penganalisis menjangkakan perjalanan US dolar akan menyusuli semula situasi selepas mesyuarat FOMC minggu lalu yang telah ketara melemah.

Indeks dolar (DXY) papar penurunan ke sekitar 102.100 mata manakala hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat (AS) mendatar perlahan di zon terendah 5 bulan sekitar 3.90%.

Pasaran saham Wall Street dilaporkan meningkat dengan Dow Jones telah memecah rekod tertinggi sepanjang masa (all-time-high).

Data sektor perumahan AS diterbitkan bercampur pada sesi New York semalam dengan jumlah rumah yang baru dibina menjangkau 1.56 juta pada bulan lalu.

Data jualan rumah sedia ada akan dinantikan pelabur pada sesi New York malam ini pula sambil tumpuan akan turut terarah kepada data tinjauan keyakinan pengguna AS.

Menuju penghujung minggu, data pertumbuhan ekonomi suku ketiga akan diteliti sebelum tumpuan beralih kepada indeks harga PCE yang menjadi sebahagian komponen inflasi di AS.

Mata wang utama lain kembali pulih dengan faktor penyusutan semula US dolar untuk menyambung corak pergerakan minggu lalu.

Walaupun lemah berbanding kebanyakan mata wang utama, namun US dolar kekal kukuh berbanding Yen yang telah alami kemerosotan ketara selepas keputusan mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ) semalam.

Selepas mengekalkan kadar faedah di paras rendah -0.10%, bank pusat memberi isyarat untuk masih mengekalkan dasar monetari ultra-longgar mereka.

Dolar Australia dan New Zealand telah berjaya melonjak lebih tinggi minggu ini masing-masing mencatatkan paras tertinggi terbaru 5 bulan.

Mata wang Eropah menyaksikan kenaikan semula berbanding US dolar dilihat menuju semula paras ketinggian yang direkodkan pada lonjakan minggu lalu.

Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak sedang paparkan pemulihan dan dijangka berpotensi untuk meningkat berikutan laporan berkenaan serangan kumpulan Houthi Yaman di Laut Merah yang bakal menjejaskan bekalan.

Sementara itu, dagangan emas menceriakan para pelabur apabila pamerkan kenaikan harga semalam untuk menghampiri kembali paras tumpuan pada $2,050.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat