USD Sambung Terjun, Mata Wang Utama Terus Meninggi!

443

US dolar terus kecundang lebih parah pada sesi Eropah susulan bacaan data inflasi Amerika Syarikat menguatkan jangkaan untuk pengetatan perlahan oleh Federal Reserve (Fed).

Data terbaru yang diterbitkan pada Khamis menunjukkan tekanan harga terus berkurangan di negara itu, dengan meningkat 6.5% pada Disember daripada 7.1% bulan sebelumnya.

Beberapa penggubal dasar bank pusat juga mula mengubah ‘nada’ dalam pendirian dasar mereka, di mana Presiden Fed Philadelphia Patrick Harker melihat kenaikan 25 mata asas adalah sesuai untuk keputusan akan datang.

Ini termasuk Presiden Fed Atlanta Raphael Bostic yang mengatakan kenaikan sedemikian boleh dilaksanakan jika perbincangan dengan perniagaan konsisten dengan inflasi yang perlahan.

Ekoran daripada itu, mata wang utama terus memanfaatkan kelemahan US dolar untuk kekal didagangkan lebih kukuh pada sesi Eropah.

Antaranya adalah mata wang yen yang melanjutkan peningkatan ke paras tertinggi 7 bulan, di samping turut meraih dorongan daripada berita mengenai Bank of Japan (BOJ).

Bank pusat itu dilaporkan akan mengkaji semula impak daripada dasar monetarinya pada mesyuarat minggu depan, memberi harapan kepada pelabur untuk mendapatkan langkah tambahan BOJ dalam pasaran bon.

Sementara itu, euro pula mengukuh pada paras ketinggian hampir 9 bulan manakala dagangan pound pula terkuat 3 minggu selepas mendapat sokongan daripada data keluaran dalam negara kasar (KDNK) UK yang positif.

Mata wang antipodean, dolar Aussie dan New Zealand pula melanjutkan kenaikan yang terhenti pada sesi sebelum ini untuk terus mengukuh pada paras tertinggi.

Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan mata wang utama diniagakan sekitar harga 102.05.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat