Impak krisis bekalan global dijangka menjadi lebih signifikan menjelang suku ketiga tahun ini, terutamanya terhadap kestabilan harga, kos operasi industri serta pasaran buruh, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Ahmad Nasir.
Menteri Ekonomi menyatakan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada kadar 5.4 peratus bagi suku pertama 2026, di samping kadar pengangguran yang kekal pada tahap guna tenaga penuh, memberikan asas yang kukuh kepada kerajaan untuk melaksanakan langkah-langkah yang lebih tersusun, proaktif dan responsif dalam menangani cabaran ekonomi semasa.
Beliau menambah, tekanan bekalan global dipantau secara rapi kerana kesannya tidak berlaku serta-merta, sebaliknya bergerak secara berperingkat mempengaruhi harga barangan, kos operasi industri, pekerjaan dan perbelanjaan isi rumah.
Tegas beliau, “Kerajaan akan terus melaksanakan intervensi bersasar bagi memastikan rakyat tidak terjejas tanpa sokongan sewajarnya. Ini termasuk memastikan bekalan asas mencukupi, harga kekal terkawal dan bantuan disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan,” katanya semasa Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan melalui laman Facebook kementerian hari ini.
Akmal Nasrullah berkata prestasi KDNK itu lebih baik berbanding beberapa ekonomi utama dunia yang telah mengumumkan prestasi suku pertama 2026, termasuk Singapura (4.6 peratus), Filipina (2.8 peratus) dan China (5.0 peratus).
Beliau berkata harga minyak mentah Brent pula kekal dalam julat tinggi antara US$105.62 setong, mencerminkan pasaran yang masih sensitif terhadap risiko geopolitik dan jangkaan permintaan tenaga global, khususnya daripada ekonomi utama Asia.
Menyentuh mengenai landskap pasaran modal, beliau menjelaskan bahawa impak terhadap pasaran kewangan domestik kekal terkawal meskipun dalam persekitaran global yang mencabar. Indeks FBM KLCI mencatatkan penutupan pada 1,740.22 mata pada 15 Mei 2026, menyusut sebanyak 7.84 mata atau 0.4 peratus berbanding 1,748.06 mata pada 8 Mei 2026.
“Bagi tempoh antara 11 hingga 15 Mei 2026, indeks didagangkan dalam julat antara 1,740.22 mata sehingga 1,750.56 mata. Trend ini menggambarkan sentimen pelabur yang lebih berhati-hati, namun tidak menunjukkan sebarang gangguan pasaran yang drastik,” jelas beliau.
Mengenai aspek kos sara hidup, Akmal Nasrullah memaklumkan bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi April 2026 meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.7 peratus pada bulan sebelumnya. Walau bagaimanapun, kadar inflasi nasional masih disifatkan sebagai sederhana dan kompetitif berbanding ekonomi serantau dan global.
Peningkatan inflasi tersebut sebahagian besarnya didorong oleh kumpulan pengangkutan yang melonjak kepada 4.1 peratus pada April 2026 daripada 1.6 peratus pada Mac 2026.
Dinamika ini dipengaruhi oleh pelarasan harga bahan api, di mana purata harga diesel di Semenanjung Malaysia meningkat kepada RM5.92 seliter (Mac 2026: RM4.12) dan harga RON97 mencecah RM5.06 seliter berbanding RM4.03 sebelum ini. – Berita Harian
























































