Amerika Syarikat Bakal Menerima Kunjungan Delegasi China Pada 13 Januari!

385

Delegasi perdagangan China dilaporkan akan berkunjung ke Washington selama empat hari pada 13 Januari untuk menandatangani perjanjian fasa 1 yang akan menamatkan pertikaian dagangan antara dua negara itu, menurut sumber yang melaporkan kepada South China Morning Post (SCMP).

Naib Perdana Menteri China, Liu He akan memimpin delegasi tersebut yang pada awalnya merancang untuk berlepas awal bulan ini, tetapi perlu mengubah jadual mereka selepas Presiden AS Donald Trump mengatakan beliau akan menandatangani perjanjian dengan ‘wakil tertinggi’ dari China pada 15 Januari di White House.

Walaupun perjanjian antara dua ekonomi terbesar dunia itu dijangka bakal dimeterai pada bulan ini, China tidak menjangkakan bahawa Trump akan membuat pengumuman sedemikian yang menunjukkan kesediaan beliau untuk menandatangani perjanjian meskipun tanpa kehadiran Presiden China Xi Jinping.

Selepas perbincangan dijalankan, pihak China akhirnya membuat keputusan untuk mengubah semula tarikh kunjungan ke Washington kepada 13 Januari dan kembali ke Beijing pada 16 Januari.

Perjanjian fasa 1 pertama kali diumumkan oleh Trump pada awal Oktober lalu dan mengambil masa berbulan-bulan untuk perunding perdagangan AS dan China menyelesaikan isu berkait sebelum memuktamadkan perjanjian.

Kesepakatan perjanjian tersebut akhirnya tercapai pada Disember lalu, dengan China telah bersetuju untuk membeli barangan import dari AS termasuk produk pertanian dan sebagai balasan AS akan membatalkan tarif yang dikenakan ke atas Beijing.

Bagaimanapun, perjanjian tersebut telah menimbulkan keraguan buat pasaran memandangkan tiada maklumat lebih mendalam mengenainya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat