Apa Sektor Tumpuan Pelabur Saham Minggu Ini?

1,065

Bursa Malaysia meneruskan trend kenaikan yang dipamerkan pada minggu lalu pada urus niaga pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi menggalakkan bursa serantau yang lain.

Kenaikan itu didorong oleh keyakinan kuat terhadap rancangan pakej rangsangan Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$1.9 trilion serta harga minyak mentah yang tinggi.

Pada pukul 9.04 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.39 mata kepada 1,612. 61 daripada 1,600.12 ketika ditutup pada petang Jumaat lalu.

Lapor Bernama, indeks utama dibuka 7.36 mata lebih tinggi pada 1,607.48.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 503 berbalas 89 sementara 277 kaunter tidak berubah, 1,303 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 541.16 juta unit bernilai RM214.05 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, pada Jumaat lalu, FBM KLCI mengatasi kerugian di Wall Street dan melonjak melepasi tahap psikologi 1,600, dirangsang oleh minat belian berterusan dalam saham berwajaran tinggi perbankan selepas Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), ditambah dengan kenaikan saham tenaga untuk mendorong indeks utama mengukuh.

“Kami berpendapat momentum positif indeks utama terus berlanjutan kerana kerancakan urus niaga dalam sektor perbankan mungkin menunjukkan harapan pasaran ke arah pemulihan ekonomi.

“Sementara itu, harga minyak Brent terus mempamerkan peningkatan selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya mengambil keputusan untuk mengekalkan pengeluaran yang stabil sehingga bulan depan,” katanya menerus satu nota penyelidikan hari ini.

Dalam pada itu, firma berkenaan menambah peniaga dijangka turut memberi tumpuan kepada segmen bertemakan pemulihan seperti pelancongan, pembinaan dan hartanah berikutan penurunan kes harian Covid-19.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank menokok enam sen kepada RM8.42, Public Bank naik 10 sen kepada RM4.45, Petronas Chemicals melonjak 18 sen kepada RM8.00, Tenaga meningkat lapan sen kepada RM10.42 dan IHH Healthcare dua sen lebih baik pada RM5.35.

Antara kaunter paling cergas, Sapura Energy, Velesto dan Alam Maritim masing-masing meningkat 1.5 sen kepada 16.5 sen, 19 sen dan 10.5 sen, KNM menambah satu sen kepada 21.5 sen dan Bumi Armada naik 3.5 sen kepada 49 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 101.68 mata kepada 11,796.94, Indeks FBMT 100 meningkat 94.33 mata kepada 11,492.90, Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 92.94 mata pada 13,028.77, FBM ACE naik 45.18 mata kepada 10,453.17 dan FBM 70 melonjak 147.93 mata kepada 15,496.58.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 142.61 mata kepada 15,595.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.66 mata pada 187.50 tetapi Indeks Perladangan turun 33.40 mata kepada 7,130.02.3.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat