Beberapa Saham Bakal Raih Minat Pelabur

368

Bursa Malaysia dibuka rendah seketika pagi ini sebelum melantun, dirangsang oleh reaksi positif terhadap perkembangan vaksin untuk Covid-19.

Pada jam 9.09 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.30 mata kepada 1,607.89 berbanding 1,607.59 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks utama dibuka rendah iaitu 0.82 mata kepada 1,606.77.

Bernama melaporkan, pergerakan harga keseluruhan pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi dengan 415 berbalas 198 sementara 343 kaunter tidak berubah, 1,215 tidak diniagakan dan 80 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 661.20 juta saham bernilai RM303.28 juta.

Malacca Securities berkata dengan kemajuan dan pengedaran vaksin Covid-19 semakin hampir, saham-saham berkaitan vaksin akan terus meraih minat dagangan.

“Kami berpendapat sektor perladangan boleh bergerak lebih tinggi berdasarkan kepada harga minyak sawit mentah yang lebih kukuh dengan permintaan untuknya terus menggalakkan,” katanya.

Firma itu menambah saham berharga murah juga akan meningkat, disokong oleh momentum kecairan memandangkan para pelabur terus berusaha untuk mendapatkan hasil yang lebih tinggi.

Secara keseluruhan, Malacca Securities berkata pasaran bersedia untuk mengekalkan sentimen positif kerana para pelabur berterusan menaruh harapan terhadap pemulihan ekonomi.

Dalam pada itu, saham AS mencatatkan keuntungan dengan Dow Jones meningkat tinggi pada Jumaat kerana ketidakpastian politik negara itu mereda dan pasaran kembali bersemangat mengenai perkembangan vaksin walaupun jumlah dagangan agak rendah berikutan penutupan awal pasaran sempena “Black Friday”.

Sementara itu, Hong Leong Bank, Petronas Gas dan Tenaga Nasional masing-masing naik 46 sen, 24 sen dan lapan sen kepada RM17.48, RM16.96 dan RM10.80.

Sebaliknya, CIMB, Petronas Dagangan dan Hartalega masing-masing turun 13 sen, 68 sen dan 10 sen kepada RM3.70, RM21.32 dan RM14.38.

Dalam kalangan saham paling cergas, Vsolar dan Bintai Kinden masing-masing menambah setengah sen kepada lima sen dan 80 sen, sementara Bioalpha turun satu sen kepada 30.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 13.11 mata pada 11,555.14, Indeks FBMT 100 meningkat 10.27 mata kepada 11,331.42, Indeks FBM Emas Syariah menokok 37.44 mata kepada 13,306.35 dan FBM 70 lebih tinggi sebanyak 45.35 mata kepada 14,785.05.

Sementara itu, FBM ACE melonjak 114.81 mata kepada 10,704.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.42 mata menjadi 162.90, Indeks Perladangan 104.22 mata lebih tinggi pada 7.340.09, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 56.91 mata kepada 14.206.19.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat