Beberapa Sektor Diunjur Positif

301

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur hari ini, disokong oleh minat belian dalam produk dan perkhidmatan pengguna terpilih, selain kaunter penjagaan kesihatan, dalam persekitaran sentimen yang lemah dalam pasaran Asia.

Bernama melaporkan, pada 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.49 mata kepada 1,589.11 daripada 1,580.62 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks dibuka tinggi 16.54 mata kepada 1,597.16.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 409 berbanding 261, manakala 348 kaunter tidak berubah, 1,147 tidak diniagakan dan 62 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 819.264 juta unit bernilai RM894.58 juta.

Malacca Securities menerusi notanya hari ini berkata, peningkatan semula di Wall Street semalaman, selain kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membenarkan semua perniagaan beroperasi sehingga 10 malam akan menyumbang impak yang positif kepada pasaran, walaupun kes Covid-19 yang meningkat boleh menjejaskan pemulihan ekonomi.

“FBM KLCI mengatasi bursa serantau apabila ditutup sederhana tinggi pada Rabu berikutan pengumuman oleh Kementerian Kesihatan mengenai pembekalan sebanyak 18.4 juta dos vaksin Covid-19 oleh Pharmaniaga dan Dpharma pada Mac.

“Kami terus memilih sektor produk dan perkhidmatan pengguna untuk kepastian pendapatan pada musim pelaporan. Selain itu, peniaga boleh melihat kaunter perladangan berikutan harga minyak sawit mentah yang melonjak, manakala saham teknologi masih berada pada aliran meningkat tetapi tertakluk kepada aktiviti pengambilan untung selepas meningkat dengan kukuh,” ujarnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 6.0 sen kepada RM7.93, TNB meningkat 4.0 sen kepada RM9.82, Top Glove menambah 62 sen kepada RM6.83, manakala Public Bank susut 6.0 sen kepada RM4.30 dan Petronas Chemicals merosot 3.0 sen kepada RM6.82.

Daripada saham cergas, P.A. Resources naik 1.0 sen kepada 21 sen, Vivocom menokok 5.5 sen kepada RM1.02, manakala AT Systematization dan Luster Industries, masing-masing naik setengah sen kepada 17.5 sen dan 19.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 33.50 mata kepada 11,488.64, Indeks FBMT 100 naik 38.69 mata kepada 11,229.08, dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 68.71 mata kepada 12,984.31.

FBM 70 merosot 31.87 mata kepada 14,769.52, manakala FBM ACE susut 5.77 mata kepada 11,160.07.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 16.95 mata kepada 14,729.29, Indeks Perladangan merosot 9.96 mata kepada 7,137.20 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.55 mata kepada 169.59.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat