Bursa Malaysia Pun Tak Menentu, Tapi Saham Mana Boleh Beri Untung?

294

Bursa Malaysia dibuka mendatar pagi ini di celah-celah prestasi bercampur-campur pasaran serantau dengan ketidakpastian di Wall Street terus dipengaruhi oleh perundingan pakej rangsangan AS yang belum lagi selesai.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.36 mata kepada 1,498.44 daripada 1,498.80 ketika ditutup pada Khamis.

Lapor Bernama, indeks utama dibuka 0.96 mata kepada 1,499.76.

Bagaimanapun di papan skor, kaunter untung mengatasi rugi dengan 237 berbanding 148 manakala 286 kaunter tidak berubah, sementara 1,496 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 256.69 juta unit bernilai RM147.53 juta.

Dalam nota penyelidikannya, Rakuten Trade berkata harapan untuk perundingan rangsangan masih ada dengan makluman terkini menyatakan perundingan berkenaan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Sehubungan itu, Purata DJI mengukuh 153 mata untuk bergerak ke arah paras 28,400 daripada paras terendah sekitar 28,000.

“Kami menjangkakan pasaran serantau akan melihat sedikit peningkatan selepas prestasi yang lemah semalam sementara di pasaran tempatan, kami percaya FBM KLCI akan mencecah paras 1,500 dengan 1,510 sebagai halangan terhampir hari ini, disokong oleh kaunter sarung tangan yang masih mendapat perhatian berikutan lonjakan kes COVID-19 seluruh dunia sejak kebelakangan ini,” katanya.

CGS-CIMB Futures Sdn Bhd pula berkata, dengan Lembah Klang memasuki minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelabur runcit terus mengambil peluang memasuki pasaran saham dan ini juga disebabkan oleh kadar faedah yang rendah, yang juga dijangka menyaksikan satu lagi penurunan pada November.

“Empat hari urus niaga minggu ini sehingga semalam mencatatkan jumlah dagangan 35.75 bilion, peningkatan 5.21 peratus berbanding 33.98 bilion minggu lalu,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM7.09, Hartalega meningkat 10 sen kepada RM17.90, Top Glove turun enam sen kepada RM8.84, dan Tenaga jatuh empat sen pada RM10.04.

Kaunter paling aktif diketuai oleh Iris yang tidak berubah pada 30.5 sen, AirAsia X naik satu sen kepada 4.5 sen, waran Datasonic meningkat setengah sen kepada 26.5 sen dan Excel Force tiga sen lebih tinggi pada 50 sen.

Saham paling untung termasuk Vitrox Corp yang meningkat 34 sen kepada RM14.28, British American melonjak 17 sen kepada RM9.97 dan JF Technology menambah 12 sen pada RM4.69.

Saham paling rugi pula adalah Nestle, PPB Group dan Malaysian Pacific yang masing-masing kerugian RM1.80, 32 sen dan 30 sen kepada RM142.70, RM18.78 dan RM20.30.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 10.62 mata kepada 10,896.73, Indeks FBMT 100 meningkat 9.58 mata kepada 10,687.10 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 3.28 mata kepada 13,081.16.

FBM 70 pula naik 59.99 mata kepada 14,443.13 dan FBM ACE melonjak 158.63 mata kepada 11,109.83.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 33.19 mata kepada 12,337.24, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.11 mata kepada 144.92 dan Indeks Perladangan 3.97 mata lebih tinggi pada 6.924.42.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat