Bursa Malaysia Terus ‘Berduka’

286

Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini namun kembali susut sekali gus meneruskan penurunan yang dicatatkan semalam, berikutan pengambilan untung berterusan dalam kaunter teknologi terpilih, serta produk dan perkhidmatan pengguna.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), yang menjadi penanda aras, turun 2.80 mata kepada 1,568.06 daripada 1,570.86 ketika ditutup pada Khamis.

Bernama melaporkan, indeks itu dibuka 0.23 mata lebih tinggi kepada 1,571.09.

Suasana pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 249 berbanding 170, sementara 333 kaunter tidak berubah, 1,445 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 549.70 juta unit bernilai RM267.38 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pasaran mungkin terus mencatatkan dagangan tidak banyak berubah sehingga kecenderungan negatif pada hari ini, didorong oleh aktiviti pembelian semasa harga rendah memandangkan pelabur masih meneliti Pelan Pemulihan Negara empat fasa.

“FBM KLCI berada pada paras jauh lebih rendah dalam lingkungan penurunan semalam, mengambil petunjuk daripada kebanyakan pasaran serantau, setelah pendirian Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan menaikkan kadar faedah.

“Bagaimanapun, kami yakin prestasi positif Nasdaq mungkin memberi kesan limpahan kepada saham teknologi di pasaran tempatan.

“Dari segi komoditi, harga minyak mentah merosot selepas dolar AS mengukuh, sementara harga minyak sawit mentah (MSM) meneruskan penyusutan,” jelasnya dalam nota penyelidikan.

Firma pembrokeran itu menambah, bagi hari dagangan terakhir minggu ini, pelabur mungkin melihat minat dagangan dalam beberapa saham yang mengutamakan pemulihan seperti pengguna, hartanah dan pembinaan, serta syarikat perkapalan.

“Sementara itu, pelabur mungkin menumpukan saham berkaitan tenaga hijau susulan pasaran menjangkakan lebih banyak pelaburan asing dalam sektor ini pada masa depan, begitu juga dengan saham teknologi yang akan mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Nasdaq,” ujarnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 8.0 sen kepada RM8.18, TNB tidak berubah pada RM9.95, sementara Public Bank turun 2.0 sen kepada RM4.17, Petronas Chemicals kurang 6.0 sen kepada RM8.02 dan IHH Healthcare susut 3.0 sen kepada RM5.65.

Antara saham aktif, MMAG dan Tanco masing-masing tidak berubah pada 19 sen dan 15 sen, Euro Holdings merosot 27.5 sen kepada 93.5 sen, sementara YGL naik 2.0 sen kepada 30 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 10.38 mata kepada 11,475.50 dan Indeks FBMT 100 menguncup 11.69 mata kepada 11,162.04 sementara FBM ACE naik 57.13 mata kepada 7,633.22.

Indeks FBM Emas Syariah menokok 0.52 mata kepada 12,614.58 dan FBM 70 naik 16.09 mata kepada 14,999.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 25.03 mata kepada 15,269.33; Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri kurang 0.72 mata kepada 191.07 dan Indeks Perladangan menguncup 17.48 mata kepada 6,522.41.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat