Calon PM Jepun Baru Bakal Teruskan Polisi ‘Abenomics’?

184

Ketua jurucakap kerajaan Jepun, Yoshihide Suga dijangka akan mengumumkan pencalonannya untuk mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP) hari ini.

Lapor Reuters, beliau juga disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri baharu untuk menggantikan Shinzo Abe yang mengumumkan pengunduran baru-baru ini.

Suga sehingga kini masih berahsia tentang hasratnya untuk bertanding bagi jawatan Perdana Menteri tetapi satu sumber terdekat memaklumkan kepada Reuters bahawa beliau sebenarnya menyatakan keinginan untuk merebut jawatan terbabit.

Suga akan merebut jawatan berkenaan bersama-sama bekas Menteri Pertahanan, Shigeru Ishiba dan bekas Menteri Luar, Fumio Kishida.

Menurut kenyataan LDP, Suga dijangka akan mengadakan sidang media pada pukul 5 petang waktu tempatan.

Tambah kenyataan itu, LDP akan turut mengumumkan tarikh undian memilih kepimpinan baharu hari ini, yang diramalkan akan berlangsung pada 14 September.

Setakat ini, Suga menerima sokongan daripada lima daripada tujuh puak LDP. Parti terbabit juga memutuskan untuk mengadakan pilihan raya membabitkan ahli Parlimen dan tiga undian dari setiap 47 kawasan, sekali gus memberi kelebihan kepada Suga.

Pasaran kewangan juga dilihat memihak Suga yang meramalkan beliau akan meneruskan strategi Abenomics untuk memulihkan semula ekonomi Jepun.

Ketua LDP baharu berpotensi besar menjadi Perdana Menteri kerana parti berkenaan masih memegang majoriti dalam Parlimen.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat