Harga WTI Cecah $83.00, OPEC+ Tetap Kurang Pengeluaran Minyak Mentah

172

Harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) ditutup lebih tinggi pada $82.82 semalam (Khamis) dan pasaran ditutup pada Jumaat bagi sambutan Good Friday.

Kenaikan harga minyak mentah disebabkan oleh kemungkinan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya Rusia (OPEC+) ingin mengekalkan pemotongan pengeluaran mereka.

Para pelabur kini memantau rapat mesyuarat Jawatankuasa Menteri Pemantauan Bersama OPEC pada minggu hadapan.

Walaupun risiko geopolitik meningkat dan mampu menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan, OPEC+ tidak mungkin akan mengubah dasar pengeluaran minyak mereka sehingga perhimpunan penuh menteri yang dijadualkan pada Jun.

Tambahan pula, harga minyak mentah kini terus disokong oleh serangan Ukraine yang berterusan ke atas infrastruktur tenaga di Rusia. Konflik ini akan menyumbang kepada sentimen pengetatan bekalan mentah global.

Laporan Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) menunjukkan kenaikan mingguan dalam inventori minyak mentah. Pada minggu lepas, perubahan stok minyak mentah EIA melaporkan peningkatan sebanyak 3.165 juta tong dan ia bertentangan dengan jangkaan penurunan sebelumnya sebanyak 1.952 juta tong.

Selain itu, keruntuhan Jambatan Francis Scott Key pada Selasa lepas bakal menjejaskan pembekal bahan api di Baltimore dengan alami kelewatan trak dan cabaran logistik lain.

Runtuhan itu mengakibatkan beberapa bahagian jambatan jatuh ke lorong perkapalan di muara Pelabuhan Baltimore yang membawa kepada penutupan pelabuhan di bandar itu.

Sementara itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS berkembang sebanyak 3.4% pada suku keempat 2023. Ia melebihi daripada jangkaan pasaran yang meramalkan sebanyak 3.2%.

Indeks Harga Keluaran Dalam Negara Kasar AS kekal stabil dengan peningkatan 1.7% sejajar dengan unjuran suku keempat.

Buat masa sekarang, para pelabur menantikan laporan Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS terkini dan ukuran inflasi pilihan Fed yang dijadualkan akan keluar pada jam 8.30 malam ini. Data-data ini bagi mendapatkan pandangan yang lebih jelas berkenaan trajektori kadar faedah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat