Ini Antara Isu Yang Menjadi Perhatian Pelabur Pada Awal Dagangan Tahun Baru

432

Sentimen risiko pasaran dilihat agak terhad dengan pergerakan matawang masing-masing yang perlahan pada pembukaan dagangan selepas cuti tahun baru, manakala pasaran di Jepun pula masih ditutup dan akan dibuka semula pada hari Isnin.

Dagangan tahun baru dimulakan dengan matawang dolar USD diniagakan rendah berbanding safe-haven yen berikutan masih dipengaruhi sentimen optimis perdagangan yang dijangka akan meningkatkan prospek terhadap pertumbuhan global.

Harapan untuk melihat AS dan China memeterai perjanjian fasa 1 semakin pasti apabila pada Selasa, Presiden Donald Trump mengumumkan tarikh majlis untuk menandatangani perjanjian adalah pada 15 Januari 2020 bersama-sama wakil tertinggi daripada China.

Selain itu, beliau turut memberitahu akan berkunjung ke Beijing untuk memulakan rundingan mengenai perjanjian fasa seterusnya dengan China.

Indeks dolar direkodkan mencatat perubahan tahunan terkecil pada tahun 2019 dengan peningkatan hanya 0.24% berikutan kejatuhan yang dialami pada dagangan Disember telah membalikkan keuntungan awal bagi indeks itu.

Terbaru, penerbitan data PMI pembuatan China hasil tinjauan Caixin bagi bulan Disember menunjukkan sedikit penurunan kepada 51.5 daripada bacaan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya 51.8 dan tersasar dari jangkaan 51.7. Namun begitu, pembacaan yang kekal di atas paras 50.0 membuktikan keadaan ekonomi negara itu masih dalam keadaan baik.

Dolar Aussie dan New Zealand mempamerkan sedikit penyusutan, tetapi masih diniagakan tinggi berbanding US dolar dengan disokong oleh sentimen perdagangan yang meyakinkan dan langkah rangsangan oleh Bank Pusat China (PBOC).

PBOC telah mengumumkan pemotongan Nisbah Keperluan Rizab (RRR) sebanyak 50 mata asas bermula 6 Januari yang bertujuan untuk menyuntik kecairan dan mengurangkan kos perniagaan.

Sementara itu di pasaran Eropah, matawang euro didagangkan tinggi berbanding US dolar selepas meraih peningkatan sebanyak 1.8% pada Disember iaitu kenaikan yang tertinggi sejak Ogos.

Pound sterling pula diniagakan mendatar berbanding USD menjelang penerbitan bacaan akhir data PMI pembuatan UK pada petang ini yang dijangka terdapat peningkatan dalam pembacaan tersebut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat