Dolar greenback kekal didagangkan stabil pada sesi Eropah, walaupun memaparkan sedikit penyusutan berikutan ketiadaan pemangkin baru untuk merangsang pergerakan pasaran lebih agresif.
Jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) mempercepatkan pengurangan pembelian bon masih lagi menyokong dagangan greenback walaupun bacaan laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat bercampur-campur.
Pertumbuhan dalam pasaran pekerjaan AS lebih lemah dari dijangkakan, manakala kadar pengangguran pula berbeza dengan mencatatkan angka memberangsangkan dengan menurun ke paras terendah sejak pandemik mula melanda.
Mesyuarat polisi Bank Pusat Australia (RBA) kini menjadi tumpuan pelabur untuk melihat tindak balas dari penggubal dasar atas kenyataan Federal Reserve (Fed) yang mula mengetatkan polisinya.
Dolar Aussie diniagakan sedikit meningkat pada sekitar harga 0.7030 berbanding US dolar, bangkit dari paras terendah yang disentuhnya pada minggu lepas 0.69930.
Peningkatan ini juga berkemungkinan daripada tindakan People’s Bank of China (PBOC) yang telah mengurangkan kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas untuk meningkatkan sokongan kepada ekonomi.
Mengikuti perkembangan matawang Eropah, euro dan pound sedikit menokok berikutan penyusutan US dolar. Bagaimanapun, pergerakan kedua-dua matawang itu masih lagi terbatas akibat pendirian dovish bank pusat England dan Eropah.