Jangan Ingat USD Sudah Kalah, Lihat Siapa Jadi ‘King’ Hari Ini!

293

US dolar kembali merampas takhta sebagai raja mata wang selepas ia bangkit dari paras terendah dua minggu dengan hasil bon AS 10 tahun terus melonjak lebih tinggi.

Menyusuri pergerakan mata wang dalam pasaran pada Khamis, indeks dolar didagangkan kukuh pada sekitar paras harga 113.00 berbanding kebanyakan mata wang utama.

Penanda aras hasil bon AS 10 tahun pula menokok ke paras ketinggian baharu 14 tahun pada 4.15%.

Yen pula terus meluncur ke bawah dengan pergerakan harga kini menuju ke paras harga 150 berbanding US dolar, terlemah dalam tempoh 32 tahun.

Jepun tampaknya masih mengambil tindakan tunggu dan lihat ketika pelabur menantikan satu lagi campur tangan daripada kerajaan dan bank pusat itu.

Sementara itu, dagangan pound menyusut rendah walaupun data inflasi UK yang diterbitkan pada Rabu menunjukkan bacaan lebih kukuh daripada dijangkakan dengan peningkatan 10.1% pada bulan September.

Di Kanada, inflasi menurun pada bulan lalu kepada 6.9% daripada 7.0%, namun inflasi teras tanpa dijangka menunjukkan peningkatan pada 6.0%.

Ini membuatkan dagangan dolar loonie tidak banyak berubah melihatkannya didagangkan stabil berbanding greenback.

Kedegilan inflasi yang tinggi telah membangkitkan semula kebimbangan terhadap kemelesetan ketika kebanyakan bank pusat global berusaha untuk menurunkannya tanpa menghiraukan kesan negatif terhadap ekonomi.

Tekanan harga yang berterusan menandakan pengetatan dalam dasar monetari yang agresif akan diteruskan.

Para pembuat dasar Federal Reserve (Fed) menguatkan lagi komitmen mereka untuk meneruskan kenaikan kadar faedah yang agresif.

Presiden Fed Minneapolis Neel Kashkari memberitahu bahawa Fed tidak boleh menghentikan pengetatan walaupun penanda arasnya mencapai 4.5% hingga 4.75% sekiranya inflasi masih tinggi.

Ini sekali gus membantu menyokong US dolar untuk menguat dan hasil bon AS 10 tahun menokok lebih jauh.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat