Ketepikan USD, Ini Mata wang Perlu Dijadikan Perhatian!

344

Lupakan seketika pergerakan suram yang terus dipaparkan oleh dagangan US dolar pada sesi Eropah kerana tumpuan pelabur kini beralih kepada mata wang yen menjelang mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ) pada Selasa.

Yen didagangkan lebih kukuh pada awal minggu susulan laporan mengenai kerajaan Jepun akan menyemak semula kenyataan bersama dengan BOJ berhubung sasaran inflasi mereka.

Kyodo News pada hari Sabtu melaporkan bahawa Perdana Menteri Fumio Kishida mungkin mempertimbangkan untuk menyemak semula perjanjian yang ditandatangani pada 2013 dengan BOJ.

Beliau juga mungkin menambah fleksibiliti kepada sasaran inflasi 2% yang berpotensi membuka jalan kepada pengakhiran dasar monetari yang sangat longgar.

Perjanjian sedia ada memberi komitmen kepada kerajaan dan BOJ untuk mencapai matlamat inflasi 2% secepat mungkin.

Meneliti pergerakan mata wang utama lain, euro dan pound masing-masing mencatat peningkatan di sebalik kesuraman dagangan US dolar.

Naib Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) Luis de Guindos mengatakan ECB akan meneruskan kenaikan kadar faedah untuk memerangi inflasi dan tidak pasti bila ia akan berakhir.

Ini sekali gus menambah sokongan kepada kenyataan Presiden ECB Christine Lagarde minggu lalu yang menegaskan pendirian bank pusat itu melanjutkan pengetatan.

Sementara itu, dolar Aussie sedikit meningkat dengan pelabur kini menantikan terbitan laporan minit mesyuarat Reserve Bank of Australia (RBA) pada Selasa.

Keseluruhannya, mata wang utama  mempunyai kelebihan untuk meningkat berbanding US dolar, namun pelabur kekal berwaspada terhadap sebarang kemungkinan perubahan arah aliran pada sesi New York akan datang.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat