Menanti Keputusan Fed, Pasaran Sedia Digoncang Powell

479

Tinggal beberapa jam sahaja lagi menuju keputusan dasar mesyuarat FOMC pada awal pagi nanti, US dolar terus memaparkan aksi tidak bermaya pada sesi Eropah.

Angka inflasi pengguna (CPI) Amerika Syarikat yang menurun ke paras terendah 2 tahun pada bulan Mei telah menguatkan jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) untuk mengekalkan kadar faedahnya tidak berubah.

Pun begitu, pasaran juga bersiap sedia terhadap sebarang langkah yang mungkin diambil oleh Fed, lebih-lebih lagi selepas kejutan dua bank pusat Australia (RBA) dan Kanada (BOC) minggu lalu.

Selain itu, pelabur juga akan memberi perhatian kepada kenyataan susulan Pengerusi Jerome Powell mengenai hala tuju dasar yang seterusnya.

Sebelum itu, pasaran akan melihat terbitan data inflasi pengeluar (PPI) AS terlebih dahulu pada malam ini.

Menjejaki pergerakan mata wang pada sesi Eropah, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam mata wang utama susut pada 103.17 (pada waktu penulisan).

Sementara itu, mata wang euro kekal didagangkan kukuh pada paras tertinggi tiga minggu berbanding greenback walaupun sedikit menyusut pada sesi Asia.

Pound pula melanjutkan kenaikan lebih tinggi susulan terbitnya data keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang menunjukkan ekonomi UK kembali berkembang pada bulan April.

Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand terus mengekalkan momentum pengukuhan di paras terkuat lima minggu dan tiga minggu masing-masing berbanding USD.

Dolar Kanada pula kekal paling kuat 4 bulan, manakala yen bergerak mendatar dengan pergerakan harga dibataskan oleh hasil bon AS 10 tahun yang lebih kuat.

Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat