OPR Rendah Berbanding Negara Serantau Asia Punca Ringgit Jatuh – Amir Hamzah

585

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penetapan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang lebih rendah oleh Malaysia berbanding Filipina, Indonesia, Korea dan India menjadi punca utama kejatuhan ringgit.

Sementara OPR Malaysia kekal pada 3% selepas ia dinaikkan sebanyak 125 mata asas, empat negara tersebut menaikkan kadar dasar utama mereka sebanyak 200 hingga 450 mata asas. Ia jauh lebih tinggi daripada Malaysia.

Perbezaan ketara dalam kadar faedah dengan Amerika Syarikat iaitu sebanyak 250 mata asas mendorong pelabur asing mengalihkan modal mereka keluar daripada pasaran domestik kepada pasaran yang memberikan pulangan lebih tinggi.

Matlamat utama jawatankuasa dasar monetari Bank Negara dalam menentukan OPR adalah untuk menstabilkan harga dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan bukannya untuk mengawal kadar pertukaran ringgit.

Tambahnya, sekiranya OPR dinaikkan bagi mengukuhkan ringgit, ekonomi negara akan terjejas dan pelbagai pihak terutamanya peminjam perlu membayar faedah yang lebih tinggi.

Buat masa sekarang, kerajaan sedang mengambil langkah untuk melindungi dasar fiskalnya di mana defisit fiskal negara kepada nisbah keluaran dalam negara kasar telah diturunkan kepada 5% daripada 5.6% pada 2022.

Tahun ini, kerajaan mengunjurkan turun lagi kepada 4.3% dan akan bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat pelaburan yang berkaitan kerajaan.

Tindakan ini akan memberi peluang kepada mereka untuk memperoleh lebih banyak keuntungan melalui pelaburan di luar negara.

Apabila pelaburan di luar negara mendapat lebih banyak keuntungan untuk di bawa pulang ke tanah air, dalam tempoh seminggu setengah, kita dapat melihat nilai ringgit semakin kukuh.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat