Pelaksanaan Tarif Import Baru China Bergantung Kepada Keputusan Trump – Larry Kudlow

249

Penasihat Ekonomi White House Larry Kudlow memberitahu pada hari Jumaat bahawa tarikh akhir pelaksanaan tarif import akan masih diteruskan pada 15 Disember ini memandangkan Presiden AS Donald Trump masih belum memberi kata putus mengenainya meskipun China berulangkali menggesa supaya tarif tersebut ditarik balik.

Kudlow berkata dalam satu temubualnya dengan CNBC, bahawa tiada tarikh akhir ditetapkan untuk mencapai kesepakatan dalam perjanjian, tetapi 15 Disember merupakan satu tarikh penting mengenai sama ada tarif akan dilaksanakan atau tidak dan ia adalah bergantung kepada keputusan Donald Trump.

Beliau juga memberitahu bahawa rundingan dagang dengan China semakin hampir untuk diselesaikan dan perbincangan antara kedua-dua negara itu diadakan hampir setiap hari, menunjukkan mereka bekerja keras untuk menyelesaikannya.

Kudlow menyatakan bahawa Trump memberitahu sekiranya jaminan berkenaan pencegahan pencurian harta intelek pada masa hadapan adalah tidak baik dan prosedur penguatkuasaan tidak memuaskan, mereka tidak akan meneruskan perjanjian tersebut.

Selain itu, apabila ditanya mengenai bagaimana beliau menggambarkan rundingan antara dua ekonomi gergasi tersebut dijalankan, Kudlow memberitahu ia boleh digambarkan sebagai ‘sengit’ kerana mereka membincangkan perkara yang sangat penting.

Dalam kenyataan berasingan, Larry Kudlow berkata bahawa Trump pada dasarnya menyukai apa yang dilihatnya dalam rundingan yang sedang dijalankan. Bagaimanapun, katanya, Trump masih belum bersedia untuk menandatangani perjanjian dengan China.

Ini telah menimbulkan persoalan dan kekeliruan sama ada rundingan yang dijalankan akan menemui penamatnya atau tidak.

Sebelum ini, rundingan tersebut dikatakan menemui jalan buntu susulan China telah membuat permintaan untuk menghapuskan tarif sedia ada yang bernilai kira-kira $375 bilion dan pembatalan tarif 15 Disember bernilai $156 bilion.

Sementara itu Donald Trump pula meminta China supaya membeli barangan pertanian Amerika Syarikat dengan jumlah minimum tertentu yang ditetapkan dan mengumumkan secara umum mengenai rancangan pembeliannya, selain turut menuntut jaminan ke atas hak harta intelek AS.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat