Rizab Rasmi BNM Bernilai AS$105.3 Bilion Pada November 2020

279

Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$105.3 bilion pada akhir November 2020, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$1.51 bilion.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Menurut bank pusat itu seperti dipetik oleh Bernama, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang yang termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing BNM berjumlah AS$8.47 bilion.

“Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$6.425 bilion manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak AS$1.485 bilion pada akhir November 2020, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek. Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.438 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang,” kata BNM.

Ujar BNM, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$327.6 juta.

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” jelas BNM.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat