Sekali Lagi, Donald Trump Kritik Dasar Polisi Bank Pusat!

617

Pergerakan pasaran bagi permulaan dagangan minggu ini dilihat perlahan buat dolar Amerika Syarikat setelah lonjakan ketara harga susulan laporan pekerjaan NFP yang kukuh pada Jumaat lalu.

Kadar pertambahan pekerjaan untuk bulan Jun yang meningkat kepada 224,000 pekerjaan baru telah mendesak pemain pasaran untuk mengurangkan posisi dagangan yang menjurus ke arah penurunan agresif kadar faedah oleh Federal Reserve.

Turut menyokong faktor tersebut adalah pantulan arah pergerakan bagi hasil pulangan perbendaharaan Amerika Syarikat yang juga memberikan tekanan terhadap nilai emas.

Faktor yang dikaitkan dengan gangguan momentum lonjakan dagangan USD adalah disebabkan oleh kritikan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengatakan Fed tidak tahu apa yang mereka lakukan. Insiden ini bukan kali pertama timbul di mana sebelum ini juga Trump telah beberapa kali mengkritik dasar monetari bank pusat yang dikatakan menjejaskan ekonomi Amerika Syarikat.

Matawang Pound Sterling pada dagangan minggu lalu ditekan ke paras terendah terbaru tahun ini pada carta harga berbanding USD. Data domestik masih lagi tidak menyokong dagangan GBP dan menguatkan lagi jangkaan penurunan kadar faedah oleh Bank of England (BOE) disamping masih menerima tekanan oleh ketidaktentuan politik di UK.

Beralih perkembangan di Asia, Gabenor Bank of Japan (BOJ) Haruhiko Kuroda mengulangi kembali bahawa bank pusat akan mengekalkan polisi yang longgar sehingga sasaran inflasi 2% tercapai. Dagangan matawang safe-haven Yen dijangka akan kembali digerakkan oleh faktor sentimen perang dagang AS-China yang dilihat masih lagi belum stabil.

Turut menjadi tumpuan pasaran adalah isu kejatuhan mendadak matawang Lira Turki dengan perbezaan besar pada pembukaan harga untuk permulaan dagangan minggu ini berbanding matawang dolar Amerika.

Pemecatan Gabenor bank pusat Turki oleh Presiden Erdogan secara mengejut nyata memberi impak signifikan terhadap matawang Turki. Dilaporkan bahawa insiden berlaku adalah berdasarkan ketidaksepakatan dalam penetapan kadar faedah oleh bank pusat dan kerajaan.

Pelabur disarankan untuk terus memantau perkembangan isu semasa yang mempengaruhi pasaran kewangan untuk lebih bersedia dalam mengawal risiko terhadap dagangan.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat