UCI Resources Bhd Buat Penampilan Di Pasaran LEAP

244

Syarikat pembuat dan pembekal produk konkrit pratuang, UCI Resources Bhd mula disenaraikan di pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia pada hari ini dengan harga 16 sen, premium satu sen berbanding harga tawaran 15 sen sesaham.

Bernama melaporkan, pada pembukaan dagangan, sebanyak 70,000 unit saham syarikat itu diniagakan.

Menurut UCI Resources, tawaran awam awal (IPO) tersebut merangkumi terbitan 33.4 juta saham biasa baharu yang mewakili 10% daripada modal saham keseluruhan syarikat yang berjumlah 333.4 juta saham.

Pengarah Urusan, Liew Thiam Leong berkata, berdasarkan harga terbitan, hasil kasar adalah berjumlah RM5.01 juta.

Ujar beliau, daripada jumlah itu, RM3 juta akan digunakan untuk membangunkan tapak pembuatan baharu UCI Resources di Bestari Jaya, Kuala Selangor sejajar dengan rancangan pengembangannya.

“Tapak pembuatan baharu itu akan merangkumi dua tingkat pejabat lokasi serta kawasan penyimpanan bahan mentah, peralatan pengeluaran dan acuan pengeluaran.

“Keseluruhan tapak pembuatan baharu itu dijangka siap pada akhir tahun ini,” katanya semasa sidang media secara maya selepas majlis penyenaraian syarikat itu di pasaran LEAP Bursa Malaysia pada hari ini.

Tambah Thiam Leong, pihaknya juga merancang untuk menambah rangkaian produk konkrit pratuang dengan merangkumkan paip bicu konkrit pratuang.

“Seiring dengan pelaksanaan produk baharu, syarikat juga berhasrat untuk membeli dua jentera paip putar, satu jentera ‘feeder’ paip putar dan satu jentera pengunci kabel automatik,” jelas beliau.

Sementara itu, baki dalam anggaran RM1.01 juta dikhususkan untuk modal kerja manakala RM1 juta lagi bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian.

“Susulan kejayaan penyenaraian hari ini, kami terus berusaha untuk mencatatkan lebih banyak kemajuan dalam industri pembinaan apabila sektor tersebut pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

“Kami yakin dengan rekod prestasi kukuh syarikat seperti yang ditunjukkan menerusi pemerolehan pesanan produk konkrit pratuang kami untuk projek berprofil tinggi di seluruh negara, kami akan tetap berdaya tahan dan mudah suai sebaik sahaja kami meneruskan rancangan pengembangan,” katanya.

UCI Resources membuat tiga produk konkrit pratuang utama, iaitu pembetung kotak, ‘U-drain’ dan berbentuk L.

Produk konkrit pratuang melalui proses tuang dan dijaga sehingga mencapai tempoh matang dalam acuan yang boleh digunakan semula serta diperkukuh dengan batang keluli bagi meningkatkan kekuatannya sebelum digunakan dalam pembinaan longkang, terowong dan dinding penahan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat