USD Terus Kukuh, Matawang Utama Pamer Aksi Tak Bermaya

457

Permulaan dagangan sesi Eropah menyaksikan raja matawang US dolar terus mengukuh di paras ketinggian dua minggu berbanding pesaing utama.

Bacaan yang lebih kuat daripada dijangkakan dalam data indeks harga pengeluar (PPI) AS telah menyokong US dolar untuk menokok tinggi, ketika kebanyakan matawang utama lain pula ditekan oleh ancaman Covid-19.

Berbanding kebanyakan matawang utama, indeks dolar didagangkan lebih tinggi sekitar harga 92.80.

Matawang euro merosot lebih rendah dengan tergelincir di bawah paras harga 1.1800 berikutan pengukuhan US dolar.

Sementara matawang pound pula masih bertahan dari jatuh lebih rendah, ketika pasaran menantikan ucapan daripada Perdana Menteri UK, Boris Johnson mengenai rancangan kerajaan untuk menguruskan Covid-19 pada musim luruh dan sejuk.

Selain itu, dolar kiwi hanya memberi sedikit reaksi selepas Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengumumkan sekatan di Auckland akan mula dilonggarkan ke fasa 3, sementara kawasan-kawasan lain pula diturunkan kepada fasa 2.

Dolar Aussie terus menanggung tekanan daripada kes jangkitan Covid-19 yang terus mencatatkan rekod tertinggi harian. Bacaan data ekonomi yang bakal diterbitkan minggu ini akan menunjukkan impak daripada sekatan yang telah dilaksanakan di Australia.

Selain itu, sentimen pasaran pada awal minggu juga disuramkan oleh laporan daripada China yang dikatakan akan menjadikan Alipay, salah satu aplikasi pembayaran terbesar di negara itu sebagai mangsa seterusnya dalam serangan terbaru pemerintah ke atas syarikat teknologi.

Dolar Kanada pula didagangkan stabil ketika harga minyak mentah meningkat tinggi disokong oleh operasi pengeluaran yang masih belum pulih di Teluk Mexico AS selepas lebih dua minggu dilanda Taufan Ida.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat