Dollar Yen menyusut lebih 55 pips Rabu semalam, dari paras tertinggi harian sekitar 119.80 ke serendah 119.25, sebelum menutup pada sekitar 119.45; sekaligus menyebabkan kadar tukaran USD|JPY berada di bawah pivot hari ini, sekitar 119.50, ketika artikel ini ditulis. Pivot bulanan adalah sekitar 118.95
Di pasaran Amerika Syarikat, data “durable goods orders” terus mengecewakan, apabila dilaporkan jauh meleset dari jangkaan, -1.4% berbanding 0.4%, dan sebelumnya juga dikemas kini lebih rendah dari 2.8% kepada 2%. Keadaan ini dilihat bakal menyebabkan penjualan Dollar yang berterusan, melainkan terdapat data-data ekonomi yang boleh menyokong pembelian untuk Dollar.
Di pasaran Jepun, kabinet perdana menteri Shinzo Abe diberitakan, telah meluluskan rancangan untuk memberi pengecualian cukai kepada syarikat-syarikat Jepun, yang memindahkan ibu pejabat mereka keluar dari Tokyo. Ini adalah bagi menyokong aktiviti perniagaan yang mahu dikembangkan di kawasan-kawasan lain di Jepun.
Hari ini Amerika Syarikat bakal melaporkan “unemployment claims” yang dijangka mengurang dari 291 ribu kepada 290 ribu pemohon dan juga “purchasing managers index” yang dijangka menyusut dari 57.2 kepada 57. Jepun pula bakal melaporkan pelaburan asing kedalam pasaran negara itu. Pasaran dijangka dalam dagangan berhati-hati.