3 Kesilapan Terbesar Yang Mesti Anda Elakkan Dalam Pengurusan Kewangan!

594

Ilmu tentang pengurusan kewangan sentiasa dititikberatkan dalam kehidupan seharian. Hal ini demikian kerana ianya adalah penting bagi menjamin kewangan yang stabil dan kukuh dan membolehkan anda menjalani sebuah kehidupan yang tenang.

Justeru itu, terdapat banyak medium pembelajaran yang mendedahkan tentang cara-cara atau tips berkenaan pengurusan kewangan. Namun, anda juga perlu ingat bahawa terdapat beberapa perkara yang dapat merosakkan pengurusan kewangan anda!

Untuk menjamin pengurusan kewangan yang baik, anda perlu elakkan 3 kesilapan besar ini :

#Tidak Menetapkan Matlamat Kewangan

Tidak menetapkan matlamat kewangan merupakan satu kesilapan terbesar yang dilakukan oleh kebanyakan individu. Matlamat tersebut adalah penting untuk memberikan gambaran kepada anda tentang hala tuju kewangan dan boleh menetapkan masa yang sesuai untuk mencapai sesuatu dalam kehidupan seperti membeli rumah, mula berniaga atau sebagainya.

Ambil sehelai kertas dan senaraikan semua matlamat kewangan anda dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Berdasarkan senarai tersebut, anda boleh merangka kehidupan anda dengan lebih sistematik dan berusaha untuk merealisasikan setiap satu daripadanya!

#Tidak Mempunyai Simpanan

Sejak zaman kanak-kanak lagi, kita didedahkan dengan amalan menyimpan wang. Hal ini demikian kerana wang simpanan tersebut boleh digunakan ketika situasi-situasi genting atau tidak dijangka. Bak kata pepatah, malang tak berbau. Sayang seribu kali sayang, jika dengan jumlah pendapatan yang lumayan itu anda tidak mampu untuk menyimpan.

Daripada membazirkan wang yang sedia ada, adalah lebih baik anda menyimpannya! Masih belum menyimpan? Jangan risau, anda boleh bermula sekarang! Mulakan dengan jumlah yang sedikit supaya anda dapat membiasakan diri untuk menyimpan secara konsisten. Sikit-sikit, lama jadi bukit!

#Tidak Tahu Ke Mana Wang Anda Dibelanjakan

Setiap perbelanjaan yang dilakukan mestilah dicatat. Catatan tersebut adalah penting untuk anda mengkaji aliran tunai yang dimiliki dan mengelakkan diri daripada berbelanja berlebihan. Selain itu, ianya juga penting untuk anda menguruskan setiap transaksi hutang yang telah dijalankan.

Jadi, anda tidak akan dibebani dengan hutang yang banyak dan mampu untuk membayarnya pada masa yang ditetapkan!

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat