Aktiviti Ekonomi AS Juga Mengecewakan, Makin Deritalah USD!

369

US dolar kekal melemah ketika perhatian pelabur beralih kepada mata wang euro yang disokong oleh jangkaan kenaikan kadar faedah pertama oleh Bank Pusat Eropah (ECB).

Menghiasi sesi Asia, dolar greenback didagangkan suram di paras terendah hampir satu bulan berbanding sekumpulan mata wang utama pada 101.90.

Raja mata wang itu terus berada di bawah tekanan lebih-lebih lagi selepas menyaksikan data anggaran awal PMI pembuatan dan perkhidmatan Amerika Syarikat yang menyuramkan pada bulan Mei.

Aktiviti perkilangan AS mencatatkan pertumbuhan perlahan dengan catatan angka 54.6 daripada 55.8 sebelumnya. Sementara sektor perkhidmatan juga merosot kepada 51.8 daripada 58.9. Kedua-dua data turut menunjukkan bacaan yang tersasar dari jangkaan.

Sebelum itu,pelabur euro dan mata wang pound juga telah diperlihatkan oleh bacaan data PMI yang sama dari Zon Eropah dan UK. Walaupun angka yang dicatatkan juga perlahan di Eropah, tetapi euro tetap memaparkan kenaikan.

Ini disokong oleh kenyataan Presiden Christine Lagarde bahawa kadar faedah mungkin kembali positif menjelang akhir suku ketiga sekali gus dilihat oleh pelabur bahawa ia akan menaikkan sekurang-kurangnya 50 mata asas dalam kadar deposit untuk mencapainya.

Sebaliknya, pound menyusut rendah selepas menyaksikan aktiviti ekonomi UK hampir terhenti pada Mei berikutan tekanan inflasi yang meningkat telah memberi kesan ketara kepada permintaan.

Hal ini turut mencetuskan keraguan bahawa Bank Pusat England (BOE) akan meneruskan kenaikan kadar faedah selanjutnya.

Di sisi lain, mata wang sensitif risiko dolar Aussie dan kiwi kekal didagangkan di paras ketinggian mingguan pada sesi Asia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat