Apa Jangkaan Untuk USD Minggu Ini Menjelang Mesyuarat FOMC?

533

Mata wang US dolar didagangkan stabil pada pembukaan pasaran awal minggu ini dengan corak pengukuhan harga dijangka untuk diteruskan lagi walaupun momentum pada Jumaat lalu agak mengendur.

Pasaran akan berhati-hati minggu ini berdepan mesyuarat polisi bank-bank pusat utama termasuk Federal Reserve (Fed), Bank of Japan (BOJ), Reserve Bank of Australia (RBA), Bank of England (BOE) dan juga Swiss National Bank (SNB).

Pastinya yang akan menjadi tumpuan utama adalah mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis nanti (jam 2.00 pagi), untuk pelabur dapatkan petunjuk lebih jelas berkenaan langkah pemotongan kadar faedah oleh Fed.

Arah pergerakan US dolar bakal ditentukan pada minggu ini dengan FOMC dan Pengerusi Fed Jerome Powell menjadi kompas arah yang utama.

Unjuran bank pusat berkenaan ekonomi dan juga inflasi akan menjadi penentu laluan pergerakan oleh US dolar selepas ini.

Momentum US dolar mula dibina pada minggu lalu susulan data inflasi pengguna dan pengeluar untuk Amerika Syarikat (AS) menunjukkan peningkatan.

Ini menjadi isyarat awal untuk dasar sedia ada dikekalkan oleh Fed dan langkah pemotongan kadar faedah berkemungkinan ditangguhkan buat seketika.

Namun pelabur tetap perlu bersedia dengan kejutan sekiranya Powell mengumumkan peralihan dasar monetari longgar pada kadar lebih segera selepas mengekalkan dasar yang ketat agak lama.

Pergerakan mata wang utama lain akan dipengaruhi oleh keputusan mesyuarat bank pusat masing-masing dan sentimen US dolar minggu ini.

Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah WTI dan Brent kekal cemerlang selepas lonjakan besar berlaku minggu lalu ke paras tertinggi sejak November 2023.

Sementara, pergerakan harga emas pula mendatar di atas paras $2,150 sehingga ke penghujung minggu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat