AS-Rusia Bincang Isu Keselamatan Siber

215

Perjanjian antara Presiden Rusia, Vladimir Putin dan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Joe Biden untuk memulakan rundingan mengenai keselamatan siber bakal menjadi satu langkah penting ke arah meningkatkan keselamatan global.

Lapor Bernama memetik seorang saintis komputer Amerika yang pakar dalam keselamatan siber, Chuck Easttom sebagai berkata, rundingan itu juga akan merintis usaha mewujudkan garis panduan di sektor maya yang sehingga sekarang masih belum terbentuk.

Dalam satu sidang media selepas mengadakan perbincangan dengan Biden di Villa La Grange di Geneva semalam, Putin berkata, beliau bersetuju dengan Biden untuk memulakan rundingan mengenai keselamatan siber.

Katanya, keselamatan siber sangat penting untuk seluruh dunia termasuklah Rusia dan AS.

“Dua negara kuasa besar dunia itu mula membincangkan perkara berkaitan garis panduan untuk masalah siber bagi mengurangkan penguasaan ‘wild west’ di dunia maya.

“Ini dapat meningkatkan keselamatan global dan mengurangkan kemungkinan serangan terhadap infrastruktur negara,” kata Easttom.

Menurut Easttom, perbincangan itu ‘seumpama konvensyen Geneva versi maya’.

Namun, perbincangan berkenaan masih di peringkat awal dan belum jelas bilakah rundingan selanjutnya akan diadakan.

Keselamatan siber menjadi antara isu penting untuk dibincangkan di sidang kemuncak itu ketika beberapa serangan penggodaman berprofil tinggi dilakukan terhadap infrastruktur AS.

Meskipun ada yang mendakwa Rusia terlibat namun Moscow berulang kali menafikan semua tuduhan itu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat