Belum Lagi FOMC Tapi Pelabur Sudah Berpeluh Pagi Ini

236

Data pembukaan pekerjaan (JOLTS) Amerika Syarikat (AS) yang kukuh pada bulan September menambah peratusan kenaikan kadar faedah agresif oleh Federal Reserve (Fed) awal pagi esok.

Difahamkan bahawa permintaan buruh kekal kukuh di AS dan diapit bacaan PMI pembuatan tinjauan ISM yang melepasi unjuran sungguhpun menurun dari bulan sebelumnya sudah cukup untuk mengekalkan penguasaan dolar.

Rentetan itu, pasaran ekuiti mengalami kemerosotan untuk sesi ke-2 dengan Dow Jones Industrial turun 0.24% pada 32,653.2 sementara S&P 500 hilang 0.41% pada 3,856.1 dan Nasdaq Composite jatuh 0.89% pada 10,890.85.

Indeks STOXX 600 Eropah pula naik 0.58% dan tolok MSCI saham global canak 0.19%.

Situasi Asia pagi ini menyaksikan Nikkei 225 Jepun jatuh 0.11% sementara Topix naik 0.11% mankala Kospi Korea Selatan hilang 0.19% dan Kosdaq turun 0.58%.

Indeks S&P/ASX 200 Australia naik 0.15% dari penurunan selepas kenaikan kadar faedah oleh Reserve Bank of Australia (RBA) semalam dan tolok meluas MSCI Asia Pasifik saham luar Jepun mendatar.

Berbalik kepada Fed, mesyuarat FOMC yang akan berlangsung pada hari ini di sesi New York sehingga esok dan bakal menyaksikan pelaksanaan kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas.

Sebelum ini pelabur mempertaruhkan bank pusat tersebut untuk kurang agresif dengan pelaksanaan kadar mereka sebanyak 50 mata asas memandangkan data-data ekonomi beri indikasi pertumbuhan yang lemah.

Namun, bacaan terbaru semalam mengembalikan kemungkinan kadar agresif dengan jangkaan ekonomi mampu menampung kesannya.

Ulas Anthony Saglimbene dari Ameriprise Financial, pasaran harapkan bacaan buruh yang lemah kerana penurunan pekerjaan akan mengurangkan permintaan dan boleh membantu merendahkan inflasi.

Dalam pada itu, indeks dolar dilihat masih mengukuh namun menunjukkan sedikit tanda penurunan pagi ini dengan nota 10 tahun hasil Perbendaharaan jatuh 2.7 mata pada 4.05% tatkala nota 2 tahun naik 4.4 mata harga pada hasil 4.5447%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat