BOJ Bakal Ambil Langkah Pelonggaran Jika COVID-19 Jejaskan Ekonomi Jepun

232

Gabenor Bank of Japan (BOJ), Haruhiko Kuroda memberitahu bahawa bank pusat akan mempertimbangkan pelonggaran monetari jika wabak coronavirus terus memberi kesan kepada ekonomi Jepun.

Kuroda berpendapat wabak ini merupakan ketidakpastian terbesar kepada ekonomi domestik dan memberi indikasi bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengambil langkah sewajarnya sekiranya risiko terhadap ekonomi terus meningkat.

Setakat ini, COVID-19 telah meragut 1,770 nyawa manakala lebih 70,000 kes jangkitan disahkan. Peningkatan ini dikatakan akan menjejaskan ekonomi China dan selaku rakan dagang terbesar kepada Jepun, ia telah mengganggu rantaian bekalan kepada sektor pembuatan.

Terdahulu dilaporkan bahawa ekonomi Jepun menguncup pada kadar yang paling cepat dalam tempoh enam tahun pada suku keempat 2019 akibat terkesan oleh kenaikan cukai jualan.

Bacaan ini juga menandakan risiko terhadap kemelesetan pada ekonomi Jepun turut meningkat.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Menteri Ekonomi Jepun, Yasutoshi Nishimura memberitahu bahawa negara itu akan meneliti sama ada penguncupan pertumbuhan yang dicatatkan pada suku keempat 2019 ini adalah sementara.

Selain itu, Jepun akan meneliti impak daripada wabak coronavirus terhadap ekonomi Jepun melalui sektor pelancongan dan gangguan rantaian bekalan serta melaksanakan langkah-langkah sewajarnya.

Kerajaan dikatakan akan menggunakan dana daripada bajet tambahan untuk menangani impak coronavirus terhadap ekonomi Jepun.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat