Dagangan Emas Melonjak Lagi, Bakal Cecah Paras Harga $1,700?

850

Harga emas meningkat ke paras harga $1,681.25 iaitu merupakan yang tertinggi sejak Februari 2013 pada awal dagangan sesi Asia hari ini, sebelum menyusut sedikit untuk diniagakan di sekitar $1,670.

Peningkatan permintaan terhadap dagangan logam berharga ini didorong oleh kenaikan mendadak dalam kes coronavirus yang telah dilaporkan di beberapa negara di luar China pada hujung minggu.

Terbaru, China melaporkan pengurangan dalam peningkatan kes jangkitan coronavirus dengan tambahan 409 kes baru dan 150 kematian setakat 23 Februari, menjadikan jumlah setakat ini mencecah 79,356 dengan angka kematian sebanyak 2,619.

Susulan berlaku penurunan dalam kes jangkitan, China dilaporkan sedang melonggarkan beberapa sekatan di wilayah Wuhan dan membenarkan penduduk bukan tempatan untuk meninggalkan bandar itu.

Walaupun kes di China mula menunjukkan tanda-tanda keredaan, namun sentimen pasaran masih berisiko ekoran penularan yang semakin meluas di beberapa negara di luar China.

Korea Selatan mencatat peningkatan mendadak dalam jumlah kes coronavirus di mana kini telah mencecah 833 orang dengan angka kematian meningkat kepada 7 orang, manakala Iran dengan 43 kes dan menyebabkan 8 kematian, manakala Itali pula mencatat 152 kes.

Kebimbangan ini juga telah mendorong harga minyak mentah untuk menyusut pada sesi dagangan hari ini. Niaga hadapan minyak mentah Brent susut 3% kepada $56.05 manakala WTI Amerika Syarikat turun 1.6% kepada $51.96 setong.

Minggu lalu, terdapat ura-ura bahawa Arab Saudi sedang mempertimbangkan untuk keluar daripada pakatan OPEC+ berikutan penularan coronavirus telah menyebabkan kejatuhan dalam permintaan minyak global.

Namun, perkara itu telah dinafikan oleh Menteri Tenaga Putera Abdulaziz bin Salman dengan menyifatkan laporan terbabit sebagai tidak masuk akal.

Jawatankuasa OPEC+ sebelum ini mencadangkan supaya pemotongan pengeluaran minyak mentah diperdalamkan kepada 600,000 tong sehari sebagai salah satu usaha untuk menangani impak coronavirus kepada permintaan global.

Bagaimanapun, sehingga kini Rusia masih belum memberi persetujuannya terhadap cadangan tersebut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat