Google ‘Bungkus’ Di Rusia, Syarikat Failkan Muflis

13,385

‘Apa ada hal tak boleh pakai Google, Internet Explorer kan ada.’

Sejak kejadian Google gagal memadam akaun di YouTube yang memaparkan keganasan Rusia berkaitan perang Ukraine pada bulan lalu, pihak Moscow terus memberi tekanan kepada syarikat.

Tekanan demi tekanan telah membuatkan anak syarikat Alphabet Inc, Google Rusia memfailkan bankrap selepas pihak berkuasa Rusia bertindak merampas akaun bank syarikat.

Tindakan tersebut secara tidak langsung telah melumpuhkan operasi syarikat dari segi pembayaran gaji pekerja dan penyewaan kedai di Rusia.

Perkara ini telah disahkan oleh jurucakap Google, namun perkhidmatan YouTube dikatakan akan terus kekal beroperasi di negara itu.

Terang jurucakap Google, ekoran kegagalan syarikat untuk memenuhi kewajipan kewangan, maka mereka membuat keputusan untuk memfailkan bankrap.

Sungguhpun begitu, masih tidak diketahui sama ada rampasan dana tersebut yang menjadi punca kepada pemfailan bankrap atau sebab berlaku rampasan lain.

Hal ini kerana saluran TV milik perniagaan Rusia pernah melaporkan kerajaan merampas 1 bilion Rubel daripada Google kerana kegagalannya memulihkan akses akaun YouTube mereka.

Selain itu, Pangkalan data Perkhidmatan Bailif Persekutuan Rusia juga pernah menyenaraikan 2 rampasan pada pertengahan Mac, tanpa menyatakan jumlahnya, serta denda dan yuran penguatkuasaan termasuk rampasan aset harta Google.

Namun, apa yang diketahui adalah pihak Google masih mengekalkan beberapa perkhidmatan percuma di Rusia walaupun memfailkan bankrap.

Antara perkhidmatan percuma yang masih ditawarkan adalah Gmail, Maps, Android Play dan YouTube.

Dalam pada itu, Google pernah dikenakan denda 7.2 bilion Rubel kerana kegagalannya memadam kandungan yang dianggap haram oleh Rusia serta penalti sebanyak 506 juta Rubel.

Terdahulu, Alphabet pernah menyatakan Rusia menyumbang 1% daripada pendapatan tahun 2021 dan laporan agensi berita Interfax Moscow mengesahkan hasil bagi tahun 2021 Google Rusia adalah sebanyak 134.3 bilion.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat