Harga ‘Face Mask’ Akan Diturunkan Lagi, Pakai Jangan Tak Pakai

225

Harga siling runcit baharu bagi sekeping pelitup muka jenis tiga lapisan akan dikurangkan kepada 70 sen daripada RM1 sebelum ini dan bakal berkuatkuasa pada 1 November.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ujarnya, harga siling borong bagi pelitup muka jenis tiga lapisan juga akan dikurangkan kepada 65 sen sekeping daripada 95 sen sebelum ini.

Jelas Alexander, selepas mempertimbangkan keperluan masyarakat untuk terus menerapkan norma baharu terutamanya penggunaan pelitup muka, pihaknya telah mengkaji harga pelitup muka bersama-sama pengeluar serta pengimport tempatan.

“Harga siling baharu ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011,” menurutnya lagi.

Tambah beliau, harga siling runcit untuk pelitup muka jenis satu lapisan ditetapkan pada 7 sen sekeping manakala pelitup muka jenis dua lapisan adalah 20 sen sekeping dan pelitup muka jenis N95 berharga RM6 sekeping.

Sementara itu, pihaknya telah menjalankan sejumlah 67,217 pemeriksaan dan pemantauan harga dan bekalan pelitup muka di seluruh negara dari 29 Januari hingga 25 Oktober.

“Pemeriksaan yang dijalankan telah membawa kepada 73 kes rampasan bernilai RM543,737 dan jumlah kompaun sebanyak RM518,400,” kata Alexander.

Berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, individu yang menjual barangan melebihi harga siling boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya; atau membayar kompaun hingga RM50,000 sementara syarikat boleh dikenakan denda hingga RM500,000 atau membayar kompaun hingga RM250,000.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat