Pembukaan sesi Asia menyaksikan dolar greenback didagangkan sedikit berubah, tetapi lebih tinggi berbanding matawang safe-haven Swiss franc dan yen Jepun.
Pergerakan terhad yang dipamerkan US dolar dilihat bertentangan dengan hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang melonjak lebih tinggi sehingga menyentuh paras 1.50% ketika sesi sebelum ini.
Menurut penganalisis, lonjakan drastik hasil bon dan penurunan indeks saham Dow Jones menggambarkan keyakinan pasaran bahawa Federal Reserve (Fed) akan memulakan perbincangan mengenai pengurangan pembelian bon (tapering) pada minggu ini.
Bagaimanapun, pergerakan US dolar yang hampir tidak berubah berbanding euro, dolar Aussie, kiwi dan loonie, juga menunjukkan tidak semua pelabur yakin bahawa Fed bersedia untuk berbincang mengenai tapering.
Namun, sekiranya hasil bon terus mengekalkan momentum pengukuhannya menjelang keputusan polisi pada Rabu, kebanyakan matawang utama lain dijangka berisiko untuk susut lebih rendah.
Data jualan runcit AS yang akan diterbitkan pada malam ini akan menjadi tumpuan utama buat pasaran untuk dijadikan petunjuk seterusnya kepada hala tuju dalam dasar monetari Fed.
Sementara itu, UK secara rasmi telah mengumumkan untuk menangguhkan rancangan menghapuskan sekatan selama sebulan sehingga 19 Julai bagi membendung penularan Covid-19 varian Delta di UK.
Matawang pound sedikit berubah susulan pengumuman itu, memandangkan ia telah jatuh lebih rendah pada pembukaan sesi Eropah. Penerbitan data pekerjaan UK dan ucapan Gabenor Bank of England (BOE), Andrew Bailey akan menjadi tumpuan utama pelabur hari ini.