UOB Kekal Unjuran Pelaburan Diluluskan Tahun Ini

181

UOB Malaysia mengekalkan unjurannya untuk pelaburan diluluskan tahun penuh berjumlah RM185 bilion pada 2021 berbanding RM167.4 bilion pada 2020 walaupun terdapat cabaran jangka pendek berikutan sekatan pergerakan di seluruh negara pada masa ini.

Ahli Ekonomi Kanan, Julia Goh berkata, pelaksanaan vaksinasi negara akan memulihkan ekonomi dan membantu pelaburan mendapat semula momentum.

Ujar beliau, pemulihan dalam pelaburan diluluskan akan membantu meningkatkan pelaburan swasta dan menambah kapasiti pengeluaran dalam sektor yang terus menyaksikan pertumbuhan dan permintaan yang kukuh.

“Setakat Mac 2021, terdapat cadangan pelaburan bernilai RM54.4 bilion yang mungkin dapat dilaksanakan pada tahun ini.

“Bagaimanapun, ini tertakluk kepada situasi Covid-19, kadar vaksinasi, langkah-langkah pencegahan dan keadaan makro global,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Dalam negara, kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif di bawah pelbagai pelan rangsangan dan Belanjawan 2021 untuk menarik pelaburan bernilai tinggi.

Di samping itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menubuhkan Unit Percepatan dan Koordinasi Projek (PACU) untuk memberikan kemudahan menyeluruh kepada semua projek yang diluluskan dan memperkenalkan beberapa perkhidmatan dalam talian bagi kelulusan lesen, insentif dan pengecualian untuk mempercepatkan pelaksanaan projek.

MIDA turut memperkenalkan aliran kerja proses baharu untuk permohonan ekspatriat dengan pusat sehenti bagi menilai permohonan pengembara perniagaan yang layak untuk memasuki Malaysia bagi tujuan perdagangan dan pelaburan.

Jumlah pelaburan diluluskan di Malaysia melonjak 95.6% kepada RM80.6 bilion pada suku pertama tahun ini, berbanding RM41.2 bilion pada suku pertama 2020, walaupun menghadapi cabaran pandemik Covid-19 yang berterusan.

Sektor pembuatan terus menarik tahap pelaburan tertinggi, berjumlah RM58.8 bilion atau 72.9% daripada jumlah pelaburan diluluskan, diikuti perkhidmatan sebanyak RM15.6 bilion (19.4%) dan sektor utama RM6.2 bilion (7.7%).

Jelas Goh, peningkatan semula pelaburan langsung asing (FDI) terbukti berdasarkan pelaburan asing diluluskan lebih tinggi berjumlah RM54.9 bilion.

FDI mewakili 68.1% daripada jumlah pelaburan diluluskan pada suku tahun tersebut, diikuti pelaburan domestik diluluskan berjumlah RM25.7 bilion atau 31.9%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat