Ini Situasi Pasaran Saham Hari Ini

368

Bursa Malaysia menunjukkan lantunan daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi hari ini, menjejaki keuntungan semalaman Wall Street yang diterajui oleh saham teknologi selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menandatangani pakej rangsangan Covid-19 bernilai AS$1.9 trilion.

Pada pukul 9.05 pagi, FBM KLCI menokok 1.06 mata kepada 1,630.47 berbanding 1,629.41 ketika ditutup semalam.

Lapor Bernama, indeks utama dibuka 1.18 mata lebih tinggi pada 1,630.59.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 426 berbanding 153, manakala 330 kaunter diniagakan tidak berubah, sebanyak 1,295 tidak didagangkan manakala 18 lagi digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 521.23 juta unit bernilai RM202.38 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam notanya berkata, pasaran saham tempatan dijangka menyaksikan sedikit peningkatan semula di celah-celah keyakinan pelabur pasaran terutamanya selepas saham teknologi melonjak baru-baru ini.

Tambah firma penyelidikan berkenaan, saham berwajaran rendah berkemungkinan bergerak lebih tinggi ketika ini.

Selain itu, firma tersebut menyatakan harga minyak sawit mentah telah meningkat di atas paras RM4,000 per tan pada RM4,060.

“Untuk fokus sektor, kami percaya sektor bertemakan pemulihan seperti penerbangan, pengguna, hartanah dan pembinaan akan terus meningkat susulan pembukaan semula kegiatan ekonomi, ditambah dengan perkembangan program vaksinasi Covid-19 yang sedang berjalan.

“Oleh itu, pelabur cenderung menilai potensi pertumbuhan pendapatan masa depan mereka dan penilaian yang menarik. Selain itu, kami berpendapat kaunter perladangan berpotensi untuk melonjak berdasarkan harga minyak sawit mentah yang mengukuh,” ujarnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat