Jangkaan Kenaikan Kadar 100 Mata Oleh Fed Tercetus, Ini Sebab USD Makin Kuat!

854

Dolar greenback terus memanfaatkan sokongan daripada data inflasi Amerika Syarikat untuk terus mengukuh pada sesi Eropah dengan meningkat ke paras tertinggi terbaharu 24 tahun berbanding yen.

Kejutan inflasi AS yang mencecah 9.1% pada bulan Jun telah menguatkan lagi keyakinan pasaran untuk Federal Reserve (Fed) bertindak lebih ‘tegas’ dalam mengetatkan dasar monetarinya.

Terbaharu, penggubal dasar Fed Mary Daly memberitahu bahawa bank pusat itu mungkin mempunyai pilihan untuk kenaikan 100 mata asas dalam kadar faedah pada bulan ini, meskipun peningkatan sebanyak 75 mata asas dilihat lebih berpeluang untuk dilaksanakan.

Ini sekali gus membenam mata wang yen yang sedia diketahui mengamalkan dasar yang sangat longgar. Yen tenggelam di paras terendah 139.00 pertama kali sejak September 1998 berbanding greenback.

Tumpuan pelabur kini beralih kepada penerbitan data indeks harga pengeluar (PPI) dan tuntutan pengangguran AS pada sesi New York.

Bank of Canada (BOC) tanpa dijangka mengambil tindakan drastik dengan meningkatkan kadar sebanyak 100 mata asas pada mesyuarat polisinya pada Rabu.

Dolar Kanada pada mulanya meraih keuntungan susulan keputusan tersebut, namun gagal mengekalkannya dengan kembali merosot berbanding USD pada sesi dagangan hari ini.

Sementara itu, dolar Aussie disokong oleh pengukuhan dalam pasaran pekerjaan selepas kadar pengangguran Australia dilaporkan terus mencatatkan kejatuhan ke paras terendah 48 tahun pada Jun, iaitu 3.5%. Namun, kenaikan yang diraih sedikit terbatas berikutan US dolar yang lebih kuat.

Euro pula terus berlegar pada sekitar harga pariti berbanding dolar Amerika, menyaksikannya didagangkan pada 1.0020, manakala pound melemah di paras terendah lebih dua tahun berbanding USD.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat