Kes COVID-19 Makin Tinggi Di Eropah, Apa Dah Jadi Dengan Rundingan UK-EU?

648

Kini timbul persoalan sama ada rundingan mengenai hubungan antara UK dan Kesatuan Eropah (EU) selepas Brexit akan diteruskan ketika dunia semakin diancam oleh penularan wabak pandemik coronavirus.

Melalui laporan terbaru The Guardian, rundingan yang telah dirancang antara kedua-dua pihak semakin terabai disebabkan penularan COVID-19 yang semakin meluas di Eropah.

Jumlah kes jangkitan di Eropah setakat ini kekal mendahului dengan 250,287 kes dan 13,950 kematian telah disahkan. Itali mencatat jumlah tertinggi kes sebanyak 80,589 dan 8,215 korban, sementara UK merekodkan 11,658 serta 578 kematian.

Walaupun berdepan dengan tekanan dalam situasi semasa, pentadbiran Perdana Menteri UK Boris Johnson masih membentangkan teks undang-undang komprehensif kepada kedua-dua belah pihak untuk terus bekerja.

Hal ini telah memaksa kedua-dua pihak untuk mengadakan rundingan secara jauh iaitu melalui panggilan video, namun delegasi kepada perunding EU diberitahu bahawa ia merupakan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

Pada minggu lalu, ketua perunding Brexit EU yang juga merupakan orang penting yang memimpin rundingan UK-EU, Michel Barnier telah disahkan positif coronavirus dan kini masih menjalankan rawatan.

Hal ini telah merumitkan rancangan PM Johnson, lebih-lebih lagi ketua perunding Brexit UK, David Frost juga sedang menjalani kuarantin selepas menunjukkan simptom-simptom dijangkiti coronavirus.

Kedua-dua pihak dikatakan telah berusaha mencari cara untuk mengekalkan dialog dalam beberapa minggu dan bulan akan datang bagi memulakan rundingan, bagaimanapun jadual yang ditetapkan sebelum ini untuk perundingan tidak lagi dipatuhi kerana penularan COVID-19 telah membantutkan usaha mereka.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat