Lima News Impak Tinggi Kepada Pasaran Minggu Ini (24-28 Julai)

54

Pasaran minggu ini sudah pasti akan memberi perhatian kepada data ekonomi US dan perkembangan politik semasa di Amerika Syarikat dengan penetapan polisi monetari The Fed juga turut berlangsung minggu ini.

Komen daripada ahli-ahli ECB akan diikuti secara rapat selepas mesyuarat bank pusat Eropah ini berlangsung minggu lalu.

Perkembangan polisi dan politik khususnya usaha menggantikan polisi kesihatan Obamacare akan memberikan kesan yang signifikan kepada pasaran kerana sebarang hasil daripada usaha ini akan menjadi petunjuk masa depan perubahan polisi yang lebih penting contohnya potongan cukai.

Tumpuan penuh pasaran sudah tentu akan menjurus kepada mesyuarat Federal Reserve pada Khamis pukul 2 pagi waktu Malaysia di mana pasaran akan cuba mendapatkan maklumat terbaru tentang pendapat atau pendirian bank pusat terhadap ekonomi dan polisi monetari semasa.

  • Mesyuarat penetapan polisi monetari The Federal Reserve (Khamis)

Tiada jangkaan kepada perubahan kadar faedah dalam mesyuarat kali ini dengan pasaran ketika ini hanya melihat mesyuarat Disember sebagai potensi untuk kadar dinaikkan. Dalam mesyuarat ini juga tidak ada ramalan terbaru dari bank pusat dan tiada kemaskini kepada ‘dot plot’ Fed Fund Rate di mana pengerusi Janet Yellen tidak akan mengadakan sidang media.

Tidak banyak perubahan positif yang dijangka dalam mesyuarat kali ini berikutan data-data terkini dilihat sebagai lemah, di samping komen ‘dovish’ pengerusi beberapa minggu lalu.

  • Data pertumbuhan ekonomi Suku-Kedua US (Jumaat)

Data ini akan dikeluarkan pada Jumaat pukul 8.30 pm dan ini akan menjadi anggaran pertama bacaan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat pada suku kedua. Oleh sebab ia adalah anggaran pertama, data ini dijangka akan memberi impak besar kepada pasaran tidak kiralah kepada instrumen matawang, bon atau pun ekuiti.

Data ini penting dan dijangka akan memberi impak signifikan kepada sentimen pasaran dengan masa depan perubahan polisi yang dijanjikan oleh Presiden Trump masih kabur.

  • Data harga pengguna CPI Australia (Rabu)

Bacaan terkini harga pengguna Australia akan dikeluarkan pada Rabu pukul 9.30 pagi di mana data ini hanya dikeluarkan sebanyak empat kali setahun (suku-tahunan). Disebabkan ia hanya dikeluarkan secara suku-tahunan, ini menjadikan impaknya sangat penting kepada pasaran Australia, khususnya Aussie Dolar.

Jika terdapat bukti inflasi yang semakin meningkat, sudah tentu ia akan memberi tekanan kepada bank pusat Australia menaikkan kadar faedah bagi mengurangkan tekanan kenaikan harga.

  • Mesyuarat OPEC dan Non-OPEC (Isnin)

Pengeluar-pengeluar minyak mentah OPEC dan Non-OPEC akan bermesyuarat di St. Petersburg pada Isnin 24 Julai. Mesyuarat ini adalah mesyuarat rutin bagi meneliti kemajuan dalam pemotongan bekalan yang telah dipersetujui sebelum ini.

Walaupun pemotongan bekalan sedang dijalankan, tetapi ia masih belum cukup membawa harga ke paras yang optimum berikutan peningkatan pengeluaran daripada Nigeria dan Libya dan pasaran akan menumpukan sama ada pengeluaran daripada kedua-dua negara ini dikurangkan atau sebaliknya.

Retorik oleh Arab Saudi dan Rusia juga akan menjadi perhatian dalam mesyuarat ini.

  • Data pertumbuhan ekonomi UK (Rabu)

Ini merupakan anggaran pertama bacaan pertumbuhan ekonomi United Kingdom pada suku-kedua 2017 dan akan dikeluarkan pada pukul 4.30 pm pada Rabu.

Data sebelum ini pada suku pertama melemah secara signifikan di mana pasaran menjangka data kali ini akan meningkat sedikit daripada 0.2% yang dicatat pada suku-pertama.

Data ini penting untuk melihat aktiviti ekonomi semasa dengan jangkaan pasaran yang negatif terhadap Brexit. Pasaran akan melihat kesan jangkaan ini kepada ekonomi dengan data-data aktiviti ekonomi yang semakin perlahan di UK.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat