Masih Dibayangi Ancaman Coronavirus, Lihat Kejatuhan Ketara Pada Indeks Saham Utama Dunia!

405

Kebimbangan terhadap wabak coronavirus yang merebak luas di luar negara China telah mencetuskan panik di kalangan pelabur menyebabkan pasaran kewangan dan saham turut terjejas.

Pada dagangan Isnin, dapat dilihat bahawa permintaan terhadap emas melonjak tinggi sehingga mencecah paras ketinggian terbaru dalam tempoh 7 tahun.

Pasaran ekuiti turut terjejas teruk apabila pada dagangan sesi New York, indeks saham Dow Jones Industrial Average ditutup 1,031.61 mata lebih rendah kepada 27,960.80 yang merupakan penurunan terbesar bagi saham Dow Jones sejak Februari 2018, manakala S&P 500 pula susut 3.35% kepada 3,225.89 dan Nasdaq Komposit turun 3.71% kepada 9,221.28.

Ini turut mendorong kejatuhan US dolar untuk memadamkan keuntungan yang diraih berbanding yen, disusuli dengan jangkaan pelabur mengenai pemotongan kadar faedah akibat coronavirus.

Walau bagaimanapun, sentimen pasaran hari ini dilihat mula menunjukkan pemulihan apabila permintaan terhadap logam kuning memaparkan kemerosotan, manakala beberapa matawang utama lain pula kembali meningkat pada sesi Asia.

Tanah besar China melaporkan 508 kes baru dan 71 kematian pada 24 Februari. Korea Selatan pula terus mencatatkan peningkatan dengan 60 kes baru menjadikan jumlah kes setakat ini 893, manakala di Iran pula melaporkan 61 kes jangkitan dengan 12 kematian.

Berikutan daripada penurunan dalam kes jangkitan dan kematian di China, pihak berkuasa telah mengurangkan amaran kecemasan dan melonggarkan sekatan di beberapa wilayah Wuhan.

Matawang Asia, dolar Aussie dan New Zealand memaparkan sedikit peningkatan berbanding dolar USD sementara pasaran masih berhati-hati dengan perkembangan terbaru coronavirus.

Matawang pound kembali meningkat selepas diheret jatuh oleh pengukuhan USD ekoran kebimbangan terhadap impak coronavirus yang meningkatkan permintaan US dolar sebagai matawang safe-haven.

Dolar euro diniagakan meningkat berbanding USD disokong oleh data tinjauan perniagaan di Jerman yang positif serta penurunan matawang US dolar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat