Pelabur Berdebar Tunggu Keputusan ‘Lockdown’ MKN

646

Dagangan di Bursa Malaysia lemah ketika dibuka untuk urus niaga pagi ini didorong oleh perasaan bimbang dalam kalangan pelabur kemungkinan sekatan pergerakan yang lebih ketat akan dilaksanakan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Pada jam 11 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 4.48 mata kepada 1,570.84 daripada 1,575.32 ketika ditutup semalam.

Bernama melaporkan, indeks utama dibuka 5.89 mata lebih tinggi pada 1,569.43.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 363 berbalas 187 serta 281 kaunter tidak berubah manakala 1,381 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 574.60 juta bernilai RM275.39 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, kegiatan membeli ketika harga saham rendah mungkin muncul tetapi firma berkenaan turut maklum sentimen pasaran secara keseluruhan tetap berhati-hati kerana para pelabur menantikan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh pada mesyuaratnya hari ini.

Sementara mengenai komoditi pula, ujar firma tersebut, kedua-dua minyak sawit mentah dan minyak mentah mengalami penurunan selepas kenaikan baru-baru ini.

“Pelabur mungkin memilih saham yang sudah pasti mencatatkan pendapatan tinggi di tengah-tengah musim pelaporan kewangan syarikat seperti sektor berkaitan pembungkusan dan barangan pengguna penting.

“Kegiatan membeli juga akan muncul untuk saham teknologi selepas kenaikan semalaman di Nasdaq,” jelas firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM8.30, TNB meningkat satu sen kepada RM9.91, IHH Healthcare melonjak 11 sen kepada RM5.39, Top Glove menambah dua sen kepada RM5.39, Public Bank turun empat sen kepada RM4.16, Petronas Chemicals susut 16 sen kepada RM7.78 dan CIMB kerugian lima sen kepada RM4.20.

Bagi kaunter cergas pula, Tanco naik setengah sen kepada 15 sen, Sedania Innovator melonjak 16.5 sen kepada 77 sen, LKL International dua sen lebih tinggi pada 41.5 sen, Focus Dynamics dan Talam Transform tidak berubah, masing-masing pada enam sen dan 2.5 sen sementara Eka Noodles turun 4.5 sen kepada satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 37.34 mata kepada 11,378.13, dan Indeks FBMT 100 turun 30.40 mata kepada 11,092.56.

Indeks FBM Emas Syariah turun 35.87 mata kepada 12,670.74, FBM ACE meningkat 11.15 mata kepada 7,613.27 manakala FBM 70 jatuh 35.09 mata kepada 14,560.14.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 12.0 mata kepada 6,906.31, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 2.40 mata kepada 185.43 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan lemah 12.70 mata kepada 14,862.96

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat