US dollar sedikit lemah pada awal sesi New York pada Rabu dengan indeks US dollar hanya susut 0.02%. Matawang GBP pula tertekan pada hari ini selepas membuat kenaikan dalam beberapa sesi dagangan yang lepas.
Major pair EUR/USD naik 0.11% setakat pada pukul 9.15 malam dengan GBP/USD jatuh sebanyak 0.48%. USD/JPY setakat ini naik 0.20% manakala USD/CAD pula meningkat 0.06%. AUD/USD dan NZD/USD masing-masing naik 0.08% dan susut 0.19%.
Matawang paling kuat pada pembukaan sesi New York adalah Euro, manakala matawang paling lemah adalah GBP. Pair EUR/GBP setakat pada pukul 9.18 malam naik sebanyak 0.55%.
GBP jatuh mendadak sejak pukul 4.30 petang disebabkan data inflasi (CPI) UK yang meleset dari jangkaan pasaran. Bacaan tumpuan pasaran iaitu harga pengguna (CPI) jatuh kepada 2.5% yang meleset daripada jangkaan 2.7% sehingga menyebabkan GBP/USD dan GBP/JPY jatuh 130 pip dan 150 pip tidak sampai 30 minit.
Bacaan inflasi adalah data tumpuan utama Bank of England sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan polisi monetari. Kejatuhan inflasi sebenarnya mengurangkan potensi untuk bank pusat menaikkan kadar faedahnya di masa hadapan.
GBP hari ini juga berhadapan dengan cabaran politik di UK apabila parlimen akan mendebatkan isu keluarnya Britain dari Kesatuan Eropah. Terdapat potensi ahli-ahli dewan mahu Britain kekal di dalam blok tersebut. Jika ini berlaku, kesannya adalah negatif kepada matawang GBP.
Tumpuan pada Rabu akan lebih banyak terarah kepada penetapan polisi Bank of Canada dan laporan pendapatan oleh syarikat-syarikat di Amerika Syarikat.