Projek Matawang Kripto Libra Terima Kehadiran Pelabur Dari Singapura

488

Libra Association mengumumkan kehadiran pelabur Singapura, Temasek Holdings sebagai ahli terbaru bagi projek matawang kripto iaitu projek penubuhan rangkaian bayaran digital seluruh dunia.

Penglibatan Temasek, dengan rekod terbaru menunjukkan portfolio bernilai melebihi $120 bilion. Malah, syarikat itu penyumbang terbesar kepada projek tersebut setelah Mastercard, Visa, eBay, Stripe dan Paypal menarik diri daripada rangkaian Libra berikutan meragui tahap keselamatan dan privasi yang sangat lemah.

Paradigm, syarikat firma pelaburan matawang kripto dan Slow Ventures, syarikat permodalan juga turut diumumkan sebagai ahli terbaru bagi organisasi tersebut yang berpangkalan di Geneva, menyertai beberapa syarikat lain seperti Shopify, Tagomi dan Heifer Interaction.

Timbalan pengerusi Libra Association, Dante Disparte menyifatkan penglibatan ketiga-tiga syarikat tersebut merupakan satu komitmen terhadap organisasi untuk membina kepelbagaian latar belakang syarikat yang mana akan menyumbang kepada pengurusan, rancangan teknologi dan persiapan untuk melancarkan sistem pembayaran Libra.

Libra merupakan projek terbesar Facebook, dijangka akan dilancarkan pada tahun ini. Meskipun tujuan usaha ini adalah untuk mengurangkan kos transaksi bagi pelbagai jenis pembayaran dan transaksi, ia tetap menerima pelbagai kritikan dari beberapa institusi kewangan dunia.

Antaranya, usaha ini dikatakan mampu merosakkan sistem kewangan global dan pasaran kewangan.

Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) meluahkan kebimbangan terhadap rancangan matawang kripto Facebook untuk memasuki pasaran kewangan memandangkan rancangan tersebut tidak cukup selamat untuk penyimpanan data peribadi pengguna. Perkara ini membuatkan Perancis bertindak untuk menolak matawang kripto Libra dengan alasan yang sama.

Berbeza pula bagi Australia, UK dan Kanada yang masih memberi peluang kepada Facebook untuk menjelaskan dan menyediakan informasi lengkap mengenai projek Libra demi memastikan keselamatan dari pelbagai aspek terutama keselamatan pengguna dan keselamatan maklumat global.

Pada awal bulan ini dilaporkan Libra telah melantik ketua undang-undang HSBC, Stuart Levey sebagai ketua pegawai eksekutif.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat