Rekod Baharu Covid-19 Cetus Sentimen Lemah

172

Bursa Malaysia dibuka rendah dalam sesi dagangan awal hari ini berikutan sentimen lemah disebabkan oleh kes baharu Covid-19 yang mencecah rekod baharu semalam.

Pada 9.07 pagi, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.66 mata kepada 1,578.86 daripada 1,580.52 ketika ditutup semalam.

Lapor Bernama, indeks dibuka rendah 2.67 mata kepada 1,577.85.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 262 berbanding 166, 252 kaunter tidak berubah, manakala 1,525 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 380.36 juta bernilai RM228.29 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata, FBM KLCI menyaksikan lebih banyak penurunan berikutan kes Covid-19 tertinggi baharu dan kebimbangan orang ramai mengenai sekatan pergerakan yang lebih ketat.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan indeks utama diniagakan antara 1,575-1,585,” ujarnya menerusi nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing menambah dua sen kepada RM8.30 dan RM4.21, Press Metal naik satu sen kepada RM5.21, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.28, Petronas Chemicals merosot tiga sen kepada RM7.95 dan TNB susut dua sen kepada RM9.95.

Daripada saham aktif, UCrest meningkat 4.5 sen kepada 37.5 sen, Tanco dan Focus Dynamics, masing-masing naik setengah sen kepada 15 sen dan 6.5 sen, Key Asic menambah satu sen kepada 15.5 sen manakala LKL International merosot satu sen kepada 39.5 sen dan QES Group susut setengah sen kepada 62.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 11.49 mata kepada 11,482.41 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 9.59 mata kepada 11,174.22.

Indeks FBM Emas Shariah susut 24.7 mata kepada 12,799.35, FBM ACE naik 23.77 mata kepada 7,744.91 dan FBM 70 merosot 4.31 mata kepada 14,765.03.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 21.59 mata kepada 6,930.37, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.42 mata kepada 191.52 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.63 mata kepada 14,896.58.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat