Saham AirAsia Jadi Pilihan Pelabur

2,634

Saham AirAsia Group Bhd melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sebulan pada sesi awal dagangan hari ini berikutan pemulihan kukuh oleh syarikat berkenaan susulan peningkatan permintaan perjalanan udara.

Ketika artikel in ditulis, saham AirAsia telah melonjak sebanyak 7.24% atau 6 sen kepada 82 sen, menjadikan nilai pasarannya pada RM2.54 bilion.

Syarikat itu turut menyaksikan kira-kira 35.28 juta sahamnya didagangkan.

Kaunter syarikat tersebut merupakan antara paling aktif dalam sesi dagangan Bursa Malaysia pagi ini.

Saham AirAsia meningkat sebanyak 22.39% daripada paras terendahnya iaitu 67 sen pada 25 Januari lalu.

Menurut laporan Bernama memetik kenyataan AirAsia semalam sebagai berkata, AirAsia Malaysia (MAA) mengakhiri suku keempat dengan membawa sebanyak 834,934 penumpang yang merupakan faktor beban muatan sebanyak 72%, walaupun berlakunya penurunan pada Oktober dan November lepas susulan pelaksanaan semula sekatan pergerakan rentas negeri.

“AirAsia Group Bhd terbukti mengemudi fasa pemulihan secara memberangsangkan dengan prestasi metrik operasi utamanya meningkat pada Disember 2020 berbanding September tahun sama.

Ini menerusi peningkatan sebanyak 31% terutamanya jumlah penumpang dibawa oleh AirAsia Thailand (TAA), angka penumpang AirAsia Philippines (PAA) yang naik dua kali ganda manakala bilangan penumpang AirAsia Indonesia (IAA) melonjak sebanyak 11 kali ganda,” ujar laporan Bernama.

Sementara itu, Public Invest Research dalam notanya hari ini berkata, perolehan AirAsia Group Bhd pada suku keempat tahun kewangan 2020 (4QFY20) dan data hasil penumpang yang akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu lagi bakal berdepan tekanan berikutan penurunan jumlah penumpang dan kerugian yang ditanggung.

Bagaimanapun, firma tersebut mengekalkan saranan ‘outperform’ terhadap syarikat itu dengan harga sasaran yang tidak berubah iaitu 39 sen.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat